Usahawan tempatan terus dibantu - FOTO Hiasan
Usahawan tempatan terus dibantu - FOTO Hiasan
Mohammad Asyraf Khalib

BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan kerajaan mengambil langkah berani menerusi peruntukan 'besar' bernilai RM388.1 bilion, berbanding RM372.3 bilion pada Oktober tahun lalu.

Peruntukan itu disambut baik pelbagai pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mengalu-alukan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 billion.

Tahun ini, KUSKOP menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM732 juta merangkumi RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus. 

Kementerian itu merekodkan peningkatan peruntukan sebanyak RM182 juta berbanding tahun lalu, khususnya pertambahan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM165 juta.

Naik taraf fasiliti

Menurut KUSKOP, antara insentif yang bakal dimanfaatkan menerusi kementerian dan agensi dibawahnya adalah pengurangan kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM150 ribu pertama daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Selain itu, sebanyak RM50 juta akan dibelanjakan untuk membina dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk bagi memberi kemudahan kepada penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Premis dan kemudahan perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Nasional Berhad (PUNB) serta Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) juga akan dinaik taraf menerusi peruntukan sebanyak RM176 juta.

Pelbagai kemudahan pinjaman

Belanjawan 2023 turut menyaksikan tawaran kemudahan pinjaman di bawah pelbagai agensi kewangan dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

Menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), sebanyak RM300 juta disediakan bagi menyokong perniagaan mikro yang diusahakan oleh usahawan wanita dan belia, manakala penyediaan pinjaman lebih RM1 bilion ditawarkan kepada PKS mikro dan penjaja.

Sebanyak RM330 juta pula diperuntukkan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) termasuk RM10 juta bagi membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan merangkumi pemberian modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Dana pinjaman hampir RM10 bilion turut diperuntukkan kepada usahawan PMKS bagi meringankan beban kewangan dan menyokong pengembangan perniagaan mereka di bawah insentif Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal menikmati jaminan sehingga RM20 bilion pinjaman daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan.

Mereka juga bakal menikmati jaminan kerajaan sehingga 90 peratus yang turut diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi.

Sementara itu, bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari sekali gus membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon, dana pinjaman mencecah RM2 bilion turut disediakan menerusi BNM.

Seterusnya, dana sebanyak RM100 juta diperuntukkan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil dalam bentuk geran padanan sehingga RM5,000.00.

Dana ini akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori.

Lebih menarik, sebanyak RM1 bilion lagi dana pembiayaan disediakan menerusi BNM untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi.

Sokongan KUSKOP

Menerusi pelaksanaan Belanjawan 2023 dengan tema Membangunkan Malaysia Madani, KUSKOP yakin bahawa peruntukan itu dapat membangunkan sosioekonomi serta mengetengahkan solusi yang ampuh bagi membantu usahawan dan koperasi ke arah kemampanan dan kelestarian perniagaan mereka.

KUSKOP mendukung fokus Belanjawan Madani menerusi 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan serta keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.

Ia adalah antara formulasi strategik yang akan membantu mengemudi negara mendepani tantangan ekonomi global dan memastikan kebajikan dan sosioekonomi rakyat terus terjaga dalam situasi yang kritikal ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 10:32 AM