Muhammad Najmir Razaman

UMUM mengetahui bahawa prinsip utama penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebagai dana persaraan di hari tua kelak.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara kita dikatakan bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2030 dengan kebanyakan penduduk berusia 65 tahun ke atas.

Oleh itu, simpanan untuk persaraan penduduk adalah sangat penting bagi menjamin kelangsungan hidup di kemudian hari.

Namun begitu, ada beberapa pengecualian yang dibuat oleh pihak KWSP yang membenarkan pencarum membuat pengeluaran wang simpanan daripada Akaun 2 tersebut sebelum mencapai umur 55 tahun.

Beli rumah pertama

Bagi Fatin Sumaiya Sidek, 26, dia memohon bagi pengeluaran sebelum mencapai umur 55 tahun bagi memiliki rumah pertamanya.

Untuk pengetahuan anda, pencarum boleh memohon pengeluaran ini dengan syarat haruslah berumur 55 tahun kebawah ketika membuat permohonan.

Bayar pinjaman pendidikan

Menurut Fatimah Rodzee, 30, dia memanfaatkan simpanan di Akaun 2 KWSP bagi menyelesaikan bayaran balik pinjaman pendidikannya.

"Pengeluaran ini memudahkan saya untuk membayar balik pinjaman MARA yang dibuat ketika belajar. Ia juga turut mengurangkan beban komitmen bulanan saya," ujarnya.

Tidak hanya terhad kepada diri sendiri, anda juga boleh membuat pengeluaran untuk membayar balik pinjaman pendidikan pasangan, ibu bapa atau anak.

Tabung kecemasan biaya bil perubatan

Bagi Rizqan Azizan, 40, pula dia menggunakan caruman pada Akaun 2 KWSP bagi menampung kos perubatan penyakit Alzheimer yang diderita ayahnya.

Menurutnya, simpanan di dalam Akaun 2 sangat bermanfaat bagi menampung kos perubatan yang terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh pencarum KWSP.

"Simpanan yang ada pada Akaun 2 KWSP amatlah membantu terutama ketika kita memerlukan bantuan kewangan dalam masa yang singkat."

"Saya bersyukur kerana caruman yang dibuat di KWSP selama ini dapat menampung kos perubatan yang diperlukan oleh ayah saya," ujarnya.

Masih ramai sebenarnya yang tidak mengetahui bahawa simpanan Akaun 2 KWSP mereka boleh digunakan untuk membayar kos perubatan yang dikategorikan oleh KWSP sebagai penyakit kritikal.

Tidak hanya terhad kepada kos perubatan diri sendiri, pengeluaran ini juga boleh dilakukan bagi menampung biaya perubatan ahli keluarga seperti ibu bapa, pasangan, adik beradik kandung dan anak-anak.

Pelbagai penyakit yang diklasifikasikan sebagai penyakit kritikal oleh KWSP boleh dibiayai menggunakan simpanan pada Akaun 2 seperti kanser, masalah sistem kardiovaskular, hematologi, penyakit mental dan sebagainya.

Terdapat dua kategori pengeluaran yang dibenarkan iaitu pengeluaran secara individu dan pengeluaran bersama.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggunakan simpanan di Akaun 2 bagi tujuan rawatan kesuburan bagi diri sendiri dan juga pasangan anda.

Justeru, anda haruslah merancang pengeluaran simpanan KWSP anda agar dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya terutama ketika kecemasan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengeluaran KWSP bagi pembiayaan kesihatan, anda boleh layari laman sesawang KWSP di sini.

Simpan baik-baik

Kemajuan teknologi dan penemuan perubatan moden yang ada pada hari ini sememangnya meningkatkan jangka hayat dan kualiti kehidupan, namun pada hakikatnya kos penjagaan kesihatan tetap mahal.

Oleh itu, KWSP terus komited dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menyimpan di KWSP dan bukan hanya untuk persaraan, namun juga untuk simpanan kecemasan.

Simpan baik-baik di KWSP sekarang agar anda dapat mengurangkan beban kewangan terutama di waktu kecemasan.

Bagi memudahkan anda menyemak simpanan di KWSP, anda kini boleh memuat turun aplikasi KWSP i-Akaun di App Store dan Play Store.

Aplikasi ini menawarkan pelbagai ciri kemudahan yang turut membolehkan pengguna menyimpan di KWSP secara sukarela. 

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang KWSP sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 10:16 AM