Muhammad Najmir Razaman

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia baru-baru ini mengumumkan bakal membuka cawangan keempat Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Ia bakal menjadi cawangan pertama Rumah Ronald McDonald yang dibuka di kawasan Borneo.

Bertujuan membantu keluarga yang kurang bernasib baik terutamanya  ibu dan kanak-kanak dalam menempuh perjalanan yang jauh ke hospital, Rumah Ronald McDonald ini berperanan menyediakan kemudahan penginapan yang selesa untuk mereka tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke tempat rawatan.

Harapan daripada inisiatif ini adalah supaya dapat meringankan beban kewangan dan emosi yang dihadapi oleh keluarga dalam usaha mendapatkan rawatan perubatan terbaik untuk anak-anak mereka. 

Prinsip teras RMHC adalah untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti yang dilanda kesusahan.

Oleh itu, penubuhan rumah ini menguatkan misi RMHC dengan menyediakan ruang sokongan kepada mereka yang memerlukan. 

Lokasi Rumah Ronald McDonald terbaharu ini dipilih secara strategik kerana HWKKS ialah salah satu hospital rujukan utama dan berperanan sebagai pusat utama kepada institusi-institusi kesihatan di seluruh Malaysia Timur.

Kepakarannya dalam rawatan dan perkhidmatan pediatik adalah selari dengan misi RMHC untuk meningkatkan kesejahteraan pesakit kanak-kanak.

Selain itu, Rumah Ronald McDonald di HWKKS ini direka dengan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan keluarga seperti:

  • 14 bilik keluarga dilengkapi bilik mandi 
  • Dapur dan ruang makan
  • Kemudahan dobi seperti mesin basuh dan pengering
  • Ruang istirahat dilengkapi televisyen dan kawasan permainan kanak-kanak
  • Kemudahan surau lelaki dan perempuan

Usahasama oleh RMHC Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini dicapai hasil daripada sumbangan dan derma orang ramai yang dihulurkan melalui peti derma RMHC dan kiosk layan diri   yang terletak di restoran McDonald's di seluruh negara.

Rumah Ronald McDonald di HWKKS bakal menjadi tambahan baharu kepada tiga rangkaian sedia ada Rumah Ronald McDonald di Malaysia antaranya terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur, dan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Secara keseluruhannya, terdapat lebih 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia, menggambarkan kesungguhan RMHC dalam menyokong setiap keluarga yang memerlukan bantuan.

RMHC Malaysia komited untuk memelihara kebajikan kanak-kanak melebih initiatif Rumah Ronald McDonald. Terdapat juga program komprehensif lain yang merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, dan kebajikan termasuklah Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, Program Anugerah  Senyuman (Gift of Smile) dan Program Pek Kembali ke Sekolah untuk kanak-kanak sekolah rendah yang kurang bernasib baik.

Kepelbagaian kemudahan dan inisiatif yang disediakan oleh RMHC Malaysia ini diharapkan dapat memberikan impak positif terhadap kehidupan kanak-kanak dan keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 10:26 AM