GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Polis Johor sedang mengesan individu yang membaling molotov cocktail di sebuah kediaman di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di sini, 21 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

"Polis masih menjalankan siasat lanjut untuk mengesan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, mangsa, Cheong Yew Lan, 52, berkata, keluarganya sudah memberikan semua maklumat berkaitan kepada pihak polis dan bersedia memberi kerjasama bagi siasatan.

Menurutnya, selepas kejadian, keluarganya tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada sindiket ceti haram berkenaan.

"Apapun kami masih bimbang dengan keselamatan keluarga hingga teragak-agak untuk menjawab telefon daripada individu tidak dikenali.

"Kami berharap pihak polis dapat memberkas individu berkenaan dan mengambil sesuai," katanya.

Pada 31 Disember lalu, akhbar ini melaporkan tiga beradik menjadi mangsa ceti haram selepas adik ipar lelaki berhutang dengan ceti haram di Singapura.

Kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi, 21 Disember lalu di kediaman keluarga mangsa di Jalan Denai 38, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram.

Mangsa mendapati seorang lelaki tidak dikenali membaling botol api dipercayai molotov cocktail di halaman rumah mengakibatkan pagar rumahnya selain sebahagian bahagian belakang kereta terdapat kesan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 2:11 PM