RUMAH penduduk di Kampung Bukit Tunggal, Jementah mulai dinaiki selepas hujan lebat. FOTO  Ahmad Ismail
RUMAH penduduk di Kampung Bukit Tunggal, Jementah mulai dinaiki selepas hujan lebat. FOTO Ahmad Ismail
Ibrahim Isa dan Ahmad Ismail

Segamat: Lebih 250 mangsa banjir di Segamat dan Johor Bahru dipindahkan ke pusat pemindahan banjir bermula 4.20 petang hingga 10 malam tadi.

Ia berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan Sungai Segamat di Batu Badak, Sungai Juaseh di Labis dan Sungai Tiram melimpah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, buat masa ini lima pusat pemindahan banjir dibuka di Balai Raya Kampung Melayu Raya, Pogoh; Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun Tenang Stesen; Balairaya Kampung Gelang Chincing dan satu di Ulu Tiram.

Menurutnya, pusat pemindahan banjir di SJKC Ai Chun Tenang Stesen menempatkan 29 keluarga membabitkan 159 mangsa dari Kampung Lembah Bakti.

"Pusat pemindahan banjir di Ulu Tiram dibuka pada 9.30 malam tadi untuk menempatkan 50 mangsa dari Kampung Paya Ulu Tiram.

"Pusat Pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Melayu Raya, Pogoh,dibuka pada 10 malam tadi untuk menempatkan 11 orang daripada satu keluarga.

"Manakala di Bukit Tunggal menempatkan tujuh keluarga membabitkan 18 mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, satu lagi pusat pemindahan banjir masih mengira jumlah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 11:27 PM