Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sekeluarga di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram dekat sini terkejut apabila kediamannya menjadi sasaran ceti dari Singapura yang membaling bom petrol molotov cocktail, minggu lalu.

Kejadian itu menyebabkan pagar rumah dan bahagian belakang kereta terbakar.

Peniaga, Cheong Yew Lan, 52, berkata, dia terkilan dengan tindakan ceti haram itu yang menyebabkan kerosakan kepada harta bendanya, sedangkan yang berhutang adalah adik iparnya.

"Kejadian pada 2.30 pagi, 21 Disember lalu dan saya sempat memadamkan kebakaran akibat bahan letupan itu bagi mengelak api merebak ke ruang lain.

"Ada nota "ini adalah amaran terakhir, saya akan kembali dan mengancam anda" yang ditinggalkan dan saya yakin kejadian ini berpunca daripada adik ipar yang berhutang SGD1,000 (RM3,285.84) daripada ceti haram," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram di sini selepas kejadian.

Lebih kesal katanya, apabila rumah dua kakaknya di Taman Sri Muhibbah dan Taman Sri Sentosa di Kulai turut menjadi sasaran sindiket itu, meskipun kesemua mereka tiada kaitan dengan urusan pinjaman terbabit.

"Kami sekeluarga menjalani kehidupan dalam ketakutan kerana diancam walaupun tidak bersalah. Mereka juga mengetahui alamat ahli keluarga dan bertindak bebas, seolah-olah kebal," katanya.

JIMMY Puah Wee Tse bersama mangsa ceti haram. FOTO Mary Victoria Dass
JIMMY Puah Wee Tse bersama mangsa ceti haram. FOTO Mary Victoria Dass

Keluarga Cheong mengadukan masalah itu kepada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Tebrau di sini, hari ini untuk bantuan.

Puah berkata, tiga beradik itu tidak seharusnya menjadi mangsa kepada masalah hutang adik ipar mereka, 40-an, yang bekerja di Singapura sebagai pemandu Grab.

"Melontar molotov cocktail adalah serius dan ancaman seumpama ini berulang dan kebanyakannya membabitkan ceti haram Singapura.

"Polis Johor perlu bekerjasama dengan polis Singapura untuk memberkas kumpulan sindiket yang semakin mengganas ini," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 4:42 PM