FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Kulai: Seorang lelaki dipercayai konco ceti haram atau along ditahan polis semalam kerana terbabit dalam mengugut dan membaling cat di kediaman sekitar kawasan Kelapa Sawit dan Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia 35 tahun ditahan jam 7.30 malam di kediamannya di Jalan Rumah Pangsa di sini, berikutan laporan polis dibuat seorang wanita berhubung kes khianat menggunakan cat merah.

Katanya, wanita berusia 62 tahun itu membuat laporan polis pada 26 September lalu, selepas kediamannya di Taman Manis, Kelapa Sawit di sini disimbah cat merah.

"Dalam kejadian 8.50 malam itu, wanita terbabit turut menerima sekeping kertas putih mengandungi kata ugutan di peti surat.

"Hasil soal siasat awal terhadap suspek, mengaku menerima upah membaling cat di sekitar kawasan Kelapa Sawit di sini dan Ulu Tiram.

"Ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis Methaphetamine serta mempunyai 12 rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, pihaknya juga menyiasat pembabitan suspek dalam lain-lain kes jenayah di sekitar atau luar daerah Kulai.

"Suspek direman empat hari hingga 20 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 2:39 PM