Polis menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki terbabit dalam insiden khianat dengan membaling molotov cocktail ke atas sebuah rumah milik warga emas di Taman Damai di sini, kelmarin. FOTO Ihsan POLIS KULAI
Polis menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki terbabit dalam insiden khianat dengan membaling molotov cocktail ke atas sebuah rumah milik warga emas di Taman Damai di sini, kelmarin. FOTO Ihsan POLIS KULAI
Izz Laily Hussein


Kulai: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki terbabit dalam insiden khianat dengan membaling molotov cocktail ke atas sebuah rumah milik warga emas di Taman Damai di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang warga emas berusia 70 tahun pada kira-kira jam 1.50 petang kelmarin.

Menurut beliau, lelaki warga tempatan itu mendakwa ketika dia tiba di rumah di Jalan Jelatik, Taman Damai di sini, mendapati ada kesan terbakar di hadapan pagar rumahnya.

"Mangsa kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua suspek menaiki motosikal yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran motosikal membaling molotov cocktail ke arah pagar rumahnya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tan berkata antara jam 3 pagi hingga 5 pagi semalam, pihaknya membuat dua serbuan di lokasi berasingan di kawasan Bandar Seri Alam, Johor Bahru dan berjaya menahan tiga lelaki itu.

Katanya, mereka yang berusia antara 16 hingga 29 tahun itu dipercayai terbabit dengan kes khianat dengan api dalam kawasan daerah ini.

"Suspek direman empat hari bermula Ahad ini. Dua telefon bimbit serta pakaian suspek digunakan ketika melakukan perbuatan terbabit dirampas.

"Soal siasat awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku mengatur dan mengambil upah membaling 'molotov cocktail'.

"Setakat ini, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada suspek itu masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 9:16 AM