Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Lanchang, di sini, pecah, akibat arus deras pagi semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata, benteng berkenaan pecah membabitkan kelebaran 20 meter.

"Kita mendapat maklumat benteng projek PLSB itu pecah pagi semalam akibat paras air Sungai Golok begitu tinggi.

"Benteng berkenaan hanya ketinggian kira-kira 10 meter (m), manakala air Sungai Golok semalam mencecah 11.03 m.

"Pada masa sama arus begitu deras yang menyebabkan benteng berdekatan Kampung Lanchang pecah. Setakat ini, kita hanya melihat benteng itu menerusi video yang tular dan pegawai belum dapat ke lokasi memandangkan arus masih deras," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, paras air Sungai Golok berada pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 m.

Paras air Sungai Golok setakat ini paling tinggi pernah direkodkan ialah 10.84 m pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 9:47 AM