Hidayatidayu Razali

Rantau Panjang: Seorang peniaga menyelamatkan lebih 300 ekor burung dan 50 ekor ayam kampung yang dipeliharanya berikutan kedai haiwan serta rumahnya di Kampung Tersang, di sini, dinaiki air sejak tiga hari lalu.

Peniaga, Mohd Sirwan Rajiun, 40, berkata dia mengalihkan kesemua haiwan itu ke tempat lebih tinggi berikutan kedai dan rumahnya dinaiki air setinggi lebih satu meter.

"Lebih 10 ekor ayam turut mati akibat paras air meningkat menyebabkan saya membuat keputusan memindahkan ternakan lain ke tempat yang tinggi, hari ini.

"Banjir yang melanda dipercayai akibat dari Danau Tok Uban dilepaskan lalu masuk ke kampung ini, sedangkan keadaan cuaca amat baik dan tidak hujan," katanya yang berniaga lebih 10 tahun yang lalu.

Bapa kepada lima anak itu berkata, ketika banjir pada Februari dan Disember tahun lalu, lebih 1,000 ekor ternakannya termasuk ayam kampung, burung dan lembu mati menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM200,000.

Tinjauan beberapa penempatan sekitar Rantau Panjang, hari ini,  terdapat kampung Tersang dan Kampung Lanchang dinaiki air sejak semalam selain beberapa jalan tidak boleh dilalui. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan beberapa penempatan sekitar Rantau Panjang, hari ini, terdapat kampung Tersang dan Kampung Lanchang dinaiki air sejak semalam selain beberapa jalan tidak boleh dilalui. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Menurutnya, kematian haiwan peliharaan itu dipercayai akibat kesejukan kerana berada di dalam banjir dalam tempoh yang lama.

"Kebiasaannya kampung ini akan dilanda banjir termenung sehingga lebih dua minggu berikutan air tidak dapat mengalir keluar.

"Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama terutama mereka yang menoreh getah, pokok kelapa sawit mati dan tanaman lain juga musnah," katanya.

Katanya, berikutan itu dia memohon pihak berkaitan mengambil tindakan segera dengan membuka saluran benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) bagi memudahkan air keluar dari kampung ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 1:30 PM