DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau pintu kawalan pasang surut Gong Kulim, Pasir Puteh. FOTO ihsan Pembaca
DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau pintu kawalan pasang surut Gong Kulim, Pasir Puteh. FOTO ihsan Pembaca
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menafikan pembinaan benteng bagi Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) yang mengakibatkan berlakunya banjir besar di daerah Pasir Mas.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya projek itu dapat menyelamatkan 38 buah kampung di kawasan Tumpat dengan bilangan penduduk berpindah daripada 4,000 orang kepada 300 orang sahaja.

Katanya, banjir di Pasir Mas berlaku akibat daripada hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan air Sungai Golok.

"Tidak benar pembinaan benteng fasa satu itu menjadi halangan air, sebaliknya benteng berkenaan berjaya mengurangkan banjir.

"Data terkini menunjukkan projek fasa satu itu berjaya menyelamatkan 38 kampung di Tumpat dengan bilangan penduduk berpindah daripada 4,000 orang kepada 300 orang sahaja.

"Bagaimanapun, banjir pada Disember tahun lalu, tidak berlaku di Tumpat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini, selepas semalam meninjau keadaan banjir di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp apabila ada penduduk di Rantau Panjang dan Kampung Tersang yang mendakwa banjir besar kali ini disebabkan pembinaan benteng.

Penduduk mendakwa benteng itu dibina oleh orang yang tidak bertanggungjawab menyebabkan beberapa rumah musnah dan kerugian kepada mangsa.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, pembinaan benteng fasa satu sekarang (meliputi jalan dari Pengkalan Kubor ke Sungai Lanchang, Pasir Mas) juga mengambil kira kawasan paling rendah dan paling mudah limpahan Sungai Golok.

Beliau berkata, berbanding projek di fasa dua di bahagian utara yang meliputi Bandar Rantau Panjang, Kampung Lanchang sehingga ke Kampung Ayer Lanas, Tanah Merah bagi penyelesaian menyeluruh untuk mengatasi masalah banjir dan limpahan air Sungai Golok.

"Pembinaan benteng banjir seperti sebelah Thailand sudah diluluskan dan reka bentuk sedang dilaksanakan dalam peruntukan tahun kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Insya-Allah, pam bergerak juga akan mula dipasang di kawasan terkesan banjir untuk mempercepatkan air dikeluarkan dari kawasan penempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 6:40 PM