Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan membina tiga pam air di kawasan Rantau Panjang bagi mengalirkan air banjir termenung di dua kampung di lokasi itu.

Antara yang masih dilanda banjir termenung adalah di Kampung Tok Deh dan Kampung Gual Periok serta menyebabkan ratusan penduduk masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha berkata, dengan pembinaan pam itu mampu mengalirkan air ke Sungai Golok sekali gus mengelakkan banjir termenung.

Katanya, sudah seminggu penduduk di kampung itu berdepan dengan air bergenang dan pihaknya mencari alternatif untuk mengeluarkan air di lokasi berkenaan.

"Sehubungan itu, dengan pembinaan pam air termasuk di kawasan Kampung Pak Teh Kana sejak semalam, ia dapat mengalirkan air dari kawasan rendah ke Sungai Golok.

"Pembinaan ini, paras air di kawasan kampung berjaya turun ke paras 0.5 meter (m) dan buat masa ini tiada air Sungai Golok masuk semula selepas penggunaan pam berkenaan.

"Pada masa yang sama, kita juga merancang membina tiga pintu banjir atau 'flood gate' di Kampung Lanchang dan Kampung Tersang bagi mengalirkan air di lokasi rendah yang sering berlaku banjir termasuk banjir termenung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KAMAL memantau pembinaan pam air di kawasan Kampung Pak Teh Kana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KAMAL memantau pembinaan pam air di kawasan Kampung Pak Teh Kana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, pihaknya peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di beberapa kampung yang terkesan dengan pembinaan ban baru-baru ini.

Jelas beliau, pihaknya akan mengambil langkah sementara antaranya melebarkan Sungai Lemal dan Lanchang serta menutup semua pembentung (culvert) air bagi mengelakkan air Sungai Golok masuk ke kawasan kampung.

Pada perkembangan yang lain, Kamal berkata, bagi persediaan banjir yang dijangka berlaku pada 30 dan 31 Disember ini, pihaknya juga sentiasa memastikan stesen aras air dalam keadaan baik bagi membolehkan pengukuran paras air sungai utama di Kelantan dibuat lebih tepat.

"Menerusi paras air sungai ini, penduduk dapat mengetahui sama ada kawasan mereka akan berdepan banjir atau tidak.

"Justeru, bagi langkah persediaan, penduduk negeri ini boleh melihat paras air sungai menerusi laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my dan juga boleh memantau taburan hujan di satu-satu lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 3:42 PM