DATUK Ong Kim Swee (tengah) bersama ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak (kiri) dan ketua jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic pada sidang media Piala SMJ di Kota Kinabalu. FOTO IHSAN SABAH FC
DATUK Ong Kim Swee (tengah) bersama ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak (kiri) dan ketua jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic pada sidang media Piala SMJ di Kota Kinabalu. FOTO IHSAN SABAH FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermula esok dijadikan medan untuk mengukur tahap persediaan pemain Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super yang akan bermula bulan depan.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun sasaran untuk mencapai juara sama penting, namun beliau mahu melihat kekuatan dan kelemahan anak buahnya sebelum aksi Liga Super bermula.

Jelasnya, ia adalah objektif utama perlawanan pra musim itu yang disertai dua lagi pasukan dalam Liga Super musim ini iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kuching City FC, selain pasukan dalam Liga Singapura, Hougang United FC.

"Kebiasaannya apabila kita bermain, sudah tentu kita inginkan kemenangan, namun objektif utama kita ialah untuk mendapatkan kecergasan perlawanan dan untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan kita sebelum musim bermula.

"Itu yang lebih penting, tapi kita tetap akan cuba hingga ke peringkat akhir perlawanan dan menjadi juara. Namun, apa yang lebih penting ialah untuk saya mengenal pasti kombinasi Sabah FC," katanya pada sidang media pra perlawanan Piala SMJ di Stadium Likas, di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak dan ketua jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic.

Kedua-dua ketua jurulatih Kuching City dan Hougang United turut menjadikan perlawanan itu untuk menguji pemain masing-masing menjelang permulaan liga musim ini, di samping untuk memenangi perlawanan.

Selain itu, Kraljevic turut menyifatkan kunjungan kedua pasukannya ke Sabah selepas aksi Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 sebelum ini sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Katanya, pasukan dari Singapura sentiasa berminat untuk bermain dengan pasukan di Malaysia dan Hougang diberi pilihan sama ada ke Kuala Lumpur atau Sabah untuk perlawanan persahabatan sebelum liga.

"Kita memilih Sabah sebab tahun lalu (Piala AFC) kami bermain di sini dan melihat permainan Sabah yang cukup baik, jadi ada banyak perkara yang kita boleh belajar di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:11 PM