Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kerajaan meluluskan peruntukan bernilai RM879 juta bagi projek fasa dua Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) untuk menangani isu banjir jangka panjang di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kelulusan peruntukan yang diberikan pada Mei lalu disahkan melalui Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan juga berusaha menyegerakan tugasan terutama di kawasan berisiko bagi menghadapi banjir akan datang walaupun ia dijangkakan siap sepenuhnya pada 2024

"Langkah awal termasuk membina pintu air dan benteng antara Sungai Golok dijalankan serentak bagi mengelak berlaku bah besar jika musim tengkujuh tiba.

"Kerajaan jelas menunjukkan usaha dalam memastikan projek ini berjalan dengan lancar agar isu banjir besar dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tilam terpakai dan makanan daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kepada enam keluarga mangsa banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan projek tebatan banjir fasa pertama diluluskan sebanyak RM600 juta membabitkan jalan dari Pengkalan Kubor ke Sungai Lanchang, Pasir Mas.

DATUK Siti Zailah Mohd Yusoff, menyampaikan sumbangan keperluan asas dan tilam kepada salah seorang mangsa banjir di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
DATUK Siti Zailah Mohd Yusoff, menyampaikan sumbangan keperluan asas dan tilam kepada salah seorang mangsa banjir di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 3:18 PM