AIR di halaman rumah Mohd Sabri Yusuf, 67,  di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang mula membusuk sejak dua hari lalu, selepas ia memenuhi kawasan kediamanya lebih seminggu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AIR di halaman rumah Mohd Sabri Yusuf, 67, di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang mula membusuk sejak dua hari lalu, selepas ia memenuhi kawasan kediamanya lebih seminggu lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Banjir termenung yang dialami beberapa kampung di Rantau Panjang susulan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok adalah kesan sementara ketika projek berkenaan masih berjalan.

Dekan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin berkata, impak projek berkenaan hanya akan dirasai penduduk sebaik ianya siap sepenuhnya sehingga fasa tiga.

"Projek PLSB Sungai Golok membabitkan tiga fasa dan saya difahamkan sekarang adalah masih fasa pertama dan setiap projek yang dilakukan semestinya ada kesannya.

"Banjir termenung yang dialami penduduk Rantau Panjang kini adalah kesan sementara susulan projek berkenaan. Untuk projek berkenaan sebenarnya sudah ada rumah pam air, namun ia tidak boleh menyedut air kerana paras air Sungai Golok yang tinggi.

"Namun, cadangan penduduk supaya mewujudkan terowong di benteng berkenaan adalah wajar dan dapat menyelesaikan masalah jangka masa pendek itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan penduduk kampung berdekatan PLSB Sungai Golok, menggesa kerajaan membina terowong pada benteng terbabit bagi mengatasi masalah air tersekat.

Gesaan penduduk Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol dan Kampung Gual To'Deh itu berikutan ratusan rumah berdepan masalah banjir termenung sejak hampir sebulan kerana air tidak dapat mengalir ke sungai.

Sekurang-kurangnya 10 kampung mengalami masalah banjir termenung susulan projek PLSB, termasuk Kampung Kusar, Kampung Padang Licin, Kampung Luar dan Kampung Tasek Bakong.

Mengulas lanjut, beliau yakin projek PLSB Sungai Golok mampu menangani masalah banjir termasuk di Rantau Panjang dan keadaan itu hanya akan dirasai apabila projek berkenaan siap sepenuhnya membabitkan tiga fasa.

"Apa yang berlaku sekarang adalah kesan daripada projek yang sedang berjalan. Sebagai contoh bila kita baik pulih jalan, kesannya adalah berlaku kesesakan teruk dan sebagainya.

"Namun apabila projek jalan itu siap, ia memberi manfaat kepada semua. Begitu juga dengan projek PLSB.

"Justeru, jika ada desakan daripada penduduk yang meminta projek ini dihentikan, ia tidak wajar kerana banyak manfaat akan diperoleh daripada projek PLSB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 3:55 PM