GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pemimpin kanan di utara tanah air sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melantik beberapa syarikat mempunyai kepentingan dengan dirinya.

Ia membabitkan beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Sumber memaklumkan pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan membabitkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang mana syarikat-syarikat terbabit mempunyai kepentingan dengan anaknya.

Beliau berkata, projek-projek itu juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin terbabit dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

"Kesalahan itu dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac lalu dan syarikat-syarikat terbabit turut disyaki mengemukakan dokumen mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja berkenaan selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.

"Setakat ini, sebanyak 15 syarikat dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin terbabit dan antara kerja-kerja dilakukan adalah membabitkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:24 PM