Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Kerajaan berpandangan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat iklim atau 'climate emergency' buat masa ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, namun, kerajaan sentiasa memantau secara dekat segala program atau aktiviti berkaitan mitigasi untuk memastikan tiada peningkatan suhu yang ketara.

"Malaysia sudah memberi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau atau GHG merentas ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 berbanding tahapnya pada 2005.

"Pengurangan intensiti ini dibuat tanpa syarat (unconditional) dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini. Selain itu, Malaysia juga sudah menyatakan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar (net-zero GHG emissions) seawal-awalnya pada 2050," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang meminta beliau menyatakan pendirian Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam mengisytiharkan darurat iklim di negara ini dalam mengehadkan pemanasan global.

Tuan Ibrahim berkata, KASA sedang melaksanakan program dasar 'carbon pricing' secara berfasa untuk menyokong usaha negara mengurangkan pelepasan GHG, selain mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus pada 2035 bagi grid kebangsaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Malaysia 2021-2040.

Selain itu katanya, aspirasi sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman pada 2030.

"Mengekalkan litupan kawasan berhutan melebihi 50 peratus selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 di mana jumlah keluasan hutan pada 2018 adalah seluas 18,273,487 hektar iaitu bersamaan dengan 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Turut dilaksanakan katanya, Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula 2021 hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.

"Sehingga 6 Julai lalu, sebanyak 35.38 juta pokok sudah berjaya ditanam di seluruh negara," katanya turut memaklumkan mahu mencapai sasaran sifar sisa yang dihantar ke tempat pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus pada 2025.

Beliau berkata, transformasi bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon juga dilaksanakan selain meningkatkan ketahanan kepada impak jangka masa panjang perubahan iklim melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan.

Dalam pada itu katanya, KASA sudah mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara melalui pembentukan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MyCAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Keputusan dasar berkaitan perubahan iklim seperti pematuhan komitmen perubahan iklim negara di peringkat antarabangsa juga akan diputuskan oleh Jemaah Menteri yang turut dipengerusikan oleh Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 12:27 PM