ISMAIL Sabri (kanan sekali) mempengerusikan MyCAC secara dalam talian hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Perdana Menteri
ISMAIL Sabri (kanan sekali) mempengerusikan MyCAC secara dalam talian hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Perdana Menteri
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) antara tiga tindakan akan dilaksanakan kerajaan dalam usaha meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim seperti hujan lebat serta fenomena banjir besar.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) berkata, Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim kerana berkelembapan tinggi selain bentuk muka bumi yang turut menyumbang kepada fenomena berkenaan.

Menurutnya, MyNAP merangkumi strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam; infrastruktur; keselamatan dan sumber air; pertanian; serta perhutanan dan biodiversiti.

"Antara tindakan lain adalah menggalakkan kerajaan negeri menggunapakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim.

"Selain itu, mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat MyCAC secara dalam talian itu turut disertai Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara besar.

"Inisiatif ini dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di negara ini selain mengurangkan pelepasan GHG secara berkesan.

"Ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan hijau serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.

Kata beliau, kerangka itu memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara.

Pada masa ini, katanya, Kasa sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih seawal 2050.

Tambah beliau, komitmen kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim juga akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 6 hingga 18 November depan.

"Saya akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri Besar, Ketua Menteri serta Menteri Kasa.

"Selaras aspirasi 'Keluarga Malaysia Lestari', kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 6:09 PM