ISMAIL (tengah) menyaksikan Norazmi (tiga dari kiri) bersama Dr Adrian   (tiga dari kanan)   selepas menandatangani plak pelaksanaan projek perintis Sistem Mini Hidro Terapung di Taman Negara Tanjung Piai.
ISMAIL (tengah) menyaksikan Norazmi (tiga dari kiri) bersama Dr Adrian (tiga dari kanan) selepas menandatangani plak pelaksanaan projek perintis Sistem Mini Hidro Terapung di Taman Negara Tanjung Piai.
Muhamad Nor Fahami

Pontian: Iskandar Malaysia selangkah ke hadapan apabila melaksanakan agenda tenaga boleh diperbaharui menerusi projek perintis Sistem Mini Hidro Hibrid Terapung di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, sekali gus menjadi projek perintis pertama di rantau Asia.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek kerjasama antara Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Majlis Bandaraya Toyama di Jepun itu menjadi antara projek contoh dalam pelan tindakan masyarakat rendah karbon di daerah berkenaan.

“Projek ini sudah tentunya akan mendapat perhatian di peringkat antarabangsa malah Iskandar Malaysia selangkah ke hadapan dengan agenda tenaga boleh baru ini.

“Kapasiti projek perintis ini adalah sebanyak 1,000 watt dan akan digunakan untuk pendidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti teknologi hijau dari Majis Bandaraya Toyama di bawah Inisiatif Bandar Masa Depan (FCI),” katanya pada pelancaran projek itu, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

Hadir sama, Yang Dipertua MDP Kamaludin Jamal, Datuk Bandar Toyama Masashi Mori, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Norazmi Amir Hamzah dan Pemangku Pengarah Sungei Buloh Wetlands Reverse, Singapura Dr Adrian Loo.

Mohamed Khaled berkata, kapasiti projek itu mampu memenuhi keperluan kegunaan seharian untuk operasi pejabat jualan tiket Taman Negara Tanjung Piai terutama alat penyaman udara dan dua lampu.

Malah katanya, ia mampu mengurangkan perbelanjaan bil utiliti kerajaan negeri dan pada masa yang sama menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Saya difahamkan Iskandar Malaysia sedang memantau pelepasan gas rumah hijau dengan sasaran pengurangan GHG sebanyak 58 peratus menjelang 2025.

“Ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sasaran negara dalam mengurangkan pelepasan intensiti GHG kepada paras 45 peratus pada 2030,” katanya.

Menurut laporan IRDA, tahun lalu sebanyak 10.6 peratus intensiti GHG dikurangkan dengan usaha semua pihak di wilayah Iskandar Malaysia.

“Diharap projek perintis ini menjadi platform untuk mempromosikan pemindahan ilmu dan teknologi hijau dari luar negara ke Johor terutama wilayah Iskandar Malaysia sebagai dorongan ke arah pembangunan teknologi hijau dan masyarakat rendah karbon,” katanya.

Sementara itu pada sidang media, Ismail berkata, projek perintis Sistem Mini Hidro Hibrid Terapung menggunakan aliran sungai bagi menghasilkan tenaga hidro di Tanjung Piai.

“Kuasa kemudian dipindahkan kepada bekalan kuasa hibrid dan melalui panel solar untuk menyediakan kuasa bercampur,” katanya.

Katanya, projek itu tidak memerlukan kawasan daratan bagi pelaksanaannya selain tidak memberi sebarang kesan buruk kepada alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 7:27 AM