Takiyuddin menyampaikan sumbangan kepada kakitangan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Taman Bukit Rangin Perdana, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Takiyuddin menyampaikan sumbangan kepada kakitangan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Taman Bukit Rangin Perdana, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melancarkan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2022-2035 bertujuan meningkatkan kapasiti campuran Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam bekalan elektrik negara dan memenuhi komitmen perubahan iklim.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, pendekatan serampang tiga mata itu antara lain akan dapat menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan nilai pelaburan sebanyak RM20 bilion pada 2025 (pelan jangka pendek) dan RM33 bilion menjelang 2035 (pelan jangka sederhana).

Menurutnya, ia juga dapat menyediakan hampir 47,000 peluang pekerjaan langsung dalam bidang TBB.

Katanya, MyRER juga mengunjurkan kapasiti TBB pada 2025 akan meningkat sebanyak 4,466 megawatt (MW) kepada 12,916 MW berbanding kapasiti tahun 2020 iaitu 8,450 MW.

"MyRER disediakan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) yang antara lain memperincikan perancangan pembangunan TBB negara serta laluan terbaik untuk peralihan ke arah sistem tenaga rendah karbon," katanya ketika melancarkan MyRER di sini, hari ini.

MyRER menggariskan empat tonggak berasaskan teknologi iaitu solar, bio-tenaga, hidro dan sumber baharu.

Empat inisiatif pemangkin ini seperti memanfaatkan peluang dalam pasaran bekalan elektrik, menambah baik akses kepada pembiayaan, pembentukan modal insan dan pembangunan infrastruktur dan peningkatan keanjalan sistem grid pembekalan elektrik.

Takiyuddin berkata, unjuran kapasiti TBB pada 2035 pula akan terus meningkat sebanyak 9,546 MW kepada 17,996 MW.

Menurutnya, pengunjuran kapasiti TBB ini mampu mengurangkan intensiti pelepasan karbon bagi sektor pembekalan elektrik sebanyak 45 peratus pada 2030 dan 60 peratus pada 2035.

Katanya, sasaran peningkatan kapasiti TBB ini adalah komitmen kementerian dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih seawal 2050 dan menyumbang kepada komitmen perubahan iklim negara di bawah Perjanjian Paris.

"MyRER juga menyediakan panduan kepada pemain industri mengenai hala tuju pembangunan TBB mengikut kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kerangka strategik bagi pembangunan sumber TBB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 2:55 PM