Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan berpendirian untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu sebaliknya memberi tumpuan kepada penjanaan elektrik lebih bersih.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal 2050.

"Bagi memperjelaskan lagi aspirasi ini, saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia Bilangan 2 pada 11 Oktober.

"Perincian langkah bagi pencapaian aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar akan diumumkan selepas kajian strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon negara dimuktamadkan pada 2022," katanya dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi menyokong usaha itu, langkah seperti 'carbon pricing' termasuk cukai karbon serta instrumen ekonomi lain akan diperincikan.

"Selain itu, Malaysia akan menyuarakan aspirasi baharu negara terhadap perubahan iklim dalam Persidangan ke-26 Negara Ahli-Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 31 Oktober hingga 12 November nanti.

"Pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan GHG dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang terselaras dan menyeluruh.

"Selain daripada itu, inisiatif perolehan hijau kerajaan juga akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Ini akan membolehkan perolehan hijau Kerajaan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025," katanya.

Menurutnya, Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

"Akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diwujudkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.

"Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada 2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 2:24 PM