Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan yakin hasrat untuk Malaysia menjadi negara sifar pelepasan gas rumah kaca menjelang 2050 mampu direalisasikan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perancangan itu akan dilaksanakan sebaik Stratergi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon disiapkan tahun ini.

Menurutnya, menerusi strategi berkenaan, Malaysia mensasarkan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus hutan selain melaksanakan kaedah penyelesaian semula jadi global bagi mengurangkan kesan jangka panjang.

"Malaysia juga mensasarkan untuk mencapai sifar sisa yang dihantar ke tempat pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga.

"Malah negara berhasrat untuk meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus menjelang 2025.

"Pelan Adaptasi Kebangsaan juga dibangunkan untuk meningkatkan ketahanan impak jangka panjang perubahan iklim dan menggalakkan transformasi bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon," katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim (tengah) menyampaikan anugerah kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor (kiri) pada majlis anugerah bandar rendah karbon 2021 di Hotel EQ. FOTO Asyraf Hamzah
TUAN Ibrahim (tengah) menyampaikan anugerah kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor (kiri) pada majlis anugerah bandar rendah karbon 2021 di Hotel EQ. FOTO Asyraf Hamzah

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Dalam majlis itu, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan dan swasta diberi pengiktirafan kerana melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon seluruh negara.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan juga menyediakan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (Gerak) bernilai RM35 juta kepada 141 PBT seluruh negara bagi melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan kawasan.

Beliau berkata, tahun lalu, PBT dan rakan kongsi yang menyertai inisiatif ini berjaya mengurangkan 157.9 juta kilogram karbon dioksida setara bagi zon rendah karbon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:31 PM