Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kes demam denggi di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan 30 peratus dengan sejumlah 282 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga minggu epid ke-24 berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mencatatkan 217 kes.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, situasi itu tidak boleh dipandang remeh memandangkan trend peningkatan kes denggi berlaku secara mendadak bermula minggu epid ke-19.

"Kita percaya pembukaan semula sektor ekonomi dalam fasa peralihan endemik serta keadaan cuaca tidak menentu dan jenis kitaran serotaip virus denggi yang dalam komuniti menjadi faktor mempengaruhi trend peningkatan tersebut.

"Kita juga tidak boleh menafikan sikap sambil lewa dan pengabaian daripada aspek penjagaan kebersihan secara tidak sempurna terus menjadi penyumbang terbesar.

"Walaupun pihak berkuasa tempatan kerap menganjurkan kempen kebersihan di kawasan wabak namun sambutan yang diterima lazimya dipandang sepi oleh sebahagian masyarakat kita," katanya.

SEBAHAGIAN peserta bergotong-royong bersama pada Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 di sini. FOTO Mikail Ong
SEBAHAGIAN peserta bergotong-royong bersama pada Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 di sini. FOTO Mikail Ong

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Denggi ASEAN dan Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Chow berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama strategik termasuk pemerkasaan 136 pasukan Skuad Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di seluruh Pulau Pinang di samping melaksanakan projek pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia di lokaliti panas kes demam denggi.

Menjelas lanjut, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Ma'arof Sudin berkata, setakat ini pihaknya melepaskan nyamuk yang mengandungi bakteria Wolbachia tersebut di tiga lokasi iaitu Bukit Gedung di daerah Barat Daya Taman Manggis di daerah Timur Laut dan Inderawasih, Seberang Perai Tengah (SPT) yang menyaksikan kadar penurunan kes sehingga 99 peratus.

"Kita akan mengenal pasti dua lagi lokaliti masing-masing di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara (SPU) dalam tempoh terdekat dengan bilangan nyamuk yang bakal dilepaskan bergantung kepada keluasan kawasan terlibat.

"Nyamuk Aedes berwolbachia ini adalah nyamuk mandul yang boleh merencatkan pembiakan nyamuk Aedes sekali gus mengawal populasi nyamuk berkenaan daripada menyebarkan virus denggi," katanya.

Menurutnya, secara kumulatif terdapat 16 lokaliti wabak demam denggi di Pulau Pinang iaitu lima di daerah Timur Laut, satu di Barat Daya, tiga di SPU dan tujuh di SPT dengan tiada kematian akibat denggi direkodkan di negeri ini dalam tempoh dua tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kes Chikungunya menunjukkan penurunan sebanyak 75.68 peratus iaitu setakat 18 Jun lalu sebanyak sembilan kes dilaporkan berbanding 37 kes bagi tempoh yang sama pada 2021 dan tiada lokaliti wabak aktif Chikungunya dilaporkan di Pulau Pinang ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 11:14 AM