Dr Zaliha menyapaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Rakyat, Batu Caves. FOTO ASWADI ALIAS
Dr Zaliha menyapaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Rakyat, Batu Caves. FOTO ASWADI ALIAS
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Gombak: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan inisiatif 'One Hour Malaysia Clean Up' bagi mengurangkan kes dan risiko kematian akibat demam denggi di negara ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif yang diperkenalkan itu bertujuan bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dibuat secara konsisten.

Katanya, inisiatif itu juga merupakan aktiviti bulanan yang akan dilakukan pada Sabtu minggu keempat setiap bulan.

"Semua rakyat Malaysia sama ada dari agensi kerajaan, swasta, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) disarankan untuk bersama-sama menjadikan One Hour Malaysia Clean Up sebagai aktiviti bulanan.

"Ia diharapkan dapat mengurangkan kes dan risiko kematian akibat demam denggi dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Madani Afiat, Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, dari segi jumlah kumulatif kes demam denggi daripada bulan Januari sehingga 2 Julai lalu, sebanyak 59,057 kes dicatatkan berbanding 23,743 kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 139 peratus atau 34,314 kes. Bagi tempoh sama, sebanyak 40 kematian dilaporkan berbanding 18 kematian pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 122 peratus," katanya.

Bagi negeri Selangor katanya, sebanyak 29,382 kes dilaporkan bermula Januari sehingga 2 Julai lalu berbanding 15,207 kes pada tempoh sama pada 2022 dengan peningkatan sebanyak 93 peratus.

"Sebanyak tujuh kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan di Selangor sehingga kini," katanya.

Dr Zaliha berkata, KKM turut memperkenalkan inisiatif Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 yang akan diadakan sebanyak dua kali setiap tahun dengan pembabitan semua agensi serta penyertaan komuniti dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Sempena program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan pada hari ini, saya ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat di Malaysia khususnya masyarakat di negeri Selangor untuk melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Luangkanlah masa selama 10 minit setiap minggu di premis masing-masing bagi membendung penularan kes denggi ketika ini," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya juga, Dr Zaliha berkata, Selangor merupakan lokasi pertama bagi Program Madani Afiat selain ia memberi peluang kepada pihak pengurusan tertinggi KKM untuk turun padang bertemu rakyat.

"Program Madani Afiat ini membabitkan pengisian aktiviti 'touch point' berupa lawatan dari rumah ke rumah yang turut memberi peluang penglibatan secara langsung pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat dan pasukan perubatan dengan penduduk setempat.

"Pada masa sama, program statik memberi peluang kepada agensi-agensi yang terbabit untuk bersama KKM di dalam mengadakan pameran dan menyampaikan maklumat mengenai aktiviti agensi masing-masing.

"Ia adalah satu usaha mega untuk menyebar luas maklumat asas pencegahan dan juga hebahan tentang program-program kesihatan dan inisiatif komuniti yang dijalankan oleh KKM kepada kumpulan sasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 2:36 PM