Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Putrajaya bersama Datuk Seri Dr Zaini Ujang (kiri), dan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Putrajaya bersama Datuk Seri Dr Zaini Ujang (kiri), dan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi hari ini mencadangkan supaya pelepasan nyamuk aedes berwolbachia dibuat di 10 lokaliti baharu bagi menangani wabak terbabit yang semakin membimbangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dana sebanyak RM4 juta setahun diperlukan bagi menampung kos operasi terbabit.

"Program pelepasan nyamuk aedes berbolbachia sudah dilaksanakan di 32 lokaliti membabitkan tujuh negeri bermula 2019 menyaksikan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 45 hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan.

"Jadi jawatankuasa ini mencadangkan pengoperasian nyamuk aedes berwolbachia melalui penambahan 10 lokaliti baharu yang memerlukan dana sebanyak RM4 juta setahun bagi menampung kos operasi," katanya menerusi kenyataan yang dibacakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dalam inisiatif berkenaan dengan menjadikannya sebagai projek angkat PBT.

Katanya, aktiviti gotong-royong besar-besaran membabitkan kementerian, jabatan dan agensi akan dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat bermula tahun ini.

"Jawatankuasa ini juga memutuskan beberapa perkara antaranya meningkatkan keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk penubuhan pasukan petugas bersama GLC.

"Selain itu, keupayaan sumber melalui penyumberluaran turut dipertingkatkan melalui aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan serta 'larvasiding'," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah 123,133 kes denggi direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat 86.3 peratus berbanding 66,102 kes pada 2022.

Jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi turut meningkat kepada 100 kes pada tahun lalu berbanding 56 kes pada 2022.

Ditanya mengenai 10 lokaliti baharu bagi pelepasan nyamuk aedes berwolbachia, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sedang memperincikan perkara terbabit.

"Kita sedang membincangkan dengan pihak negeri sebab kita mahukan kegiatan itu terutamanya di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Jadi (kita) akan kenal pasti 10 (lokaliti) yang akan kita rundingkan dengan lebih tepat sebab akhirnya ia akan membabitkan komuniti dan kita mahu pembabitan komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 5:13 PM