FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan berlaku pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Negeri Sembilan buat masa ini seperti yang tular video di Tiktok.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, KKM berterima kasih kepada pemilik akaun terbabit kerana prihatin dengan situasi semasa denggi di Malaysia.

Menurutnya, pihak KKM ingin memperbetulkan beberapa kenyataan yang didapati tidak tepat kerana buat masa ini tiada pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Negeri Sembilan.

"Video klip yang ditayangkan adalah berkaitan dengan Program Eradikasi Malaria dan tiada berkaitan dengan Program Kawalan Denggi menggunakan nyamuk Aedes berWolbachia.

"Dakwaan nyamuk Aedes hanya 'makan' darah sahaja untuk hidup adalah tidak tepat sebaliknya nyamuk Aedes betina memerlukan darah untuk perkembangan telur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, Dr Norhayati berkata, kedua-dua nyamuk Aedes jantan dan betina memerlukan cecair manisan (nektar) pada tumbuhan untuk kelangsungan hidup.

"Wolbachia adalah sejenis bakteria yang dijumpai secara semulaja di dalam 60-70 peratus serangga di alam sekitar.

"Bakteria Wolbachia yang disuntik ke dalam nyamuk Aedes aegypti boleh merencat replikasi virus denggi di dalam badan nyamuk seterusnya menghalang penularan virus denggi daripada nyamuk kepada manusia," katanya.

Beliau berkata, nyamuk Aedes berWolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada nyamuk atau persekitaran dan tidak diubahsuai secara genetik.

"Hasil penyelidikan di Malaysia dari tahun 2017 sehingga 2019 menunjukkan penurunan kes denggi di lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di antara 50 hingga 80 peratus berbanding lokaliti tanpa pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia.

"Operasi Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia di Malaysia dilancarkan pada 2019 sebagai strategi tambahan bagi menangani peningkatan kes dan wabak denggi di lokaliti yang melaporkan kes yang tinggi," katanya.

Katanya, kaedah ini juga sudah dilaksanakan di beberapa negara seperti Australia, Indonesia dan Brazil yang menunjukkan penurunan kes di antara 70 hingga 76 peratus di lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia.

"Di Malaysia, sehingga kini operasi ini dilaksanakan di tujuh negeri membabitkan 28 lokaliti. Setelah dua tahun pelaksanaan operasi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia, sebanyak 16 daripada 19 lokaliti pelepasan (84.2 peratus) (kohort 1 & kohort 2) menunjukkan tren penurunan kes demam denggi di antara 33 hingga 100 peratus.

"Di samping itu satu daripada baki tiga lokaliti yang lain menunjukkan kekal tiada kes denggi dan dua lokaliti lagi menunjukkan tiada peningkatan kes denggi yang mana bilangan kes yang dilaporkan juga adalah rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 4:52 PM