FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


KEMATIAN disebabkan wabak denggi di Johor meningkat 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan enam kes dilaporkan dari Januari hingga 2 Mac lalu.

Jumlah itu meningkat berbanding hanya tiga kes direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, Johor Bahru masih menjadi penyumbang utama kes demam denggi di negeri itu.

“Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mencatatkan 2,222 kes demam denggi dilaporkan dari Januari hingga 2 Mac lalu, meningkat 99.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pada 2018, hanya tiga kes kematian direkodkan untuk tempoh ini, tetapi tahun ini sudah meningkat 100 peratus iaitu enam kes dilaporkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Johor 2019 di Taman Kota Masai, Pasir Gudang hari ini.

Turut hadir Pengarah JKNJ, Dr Selahudeen Abd Aziz.

Dr Sahruddin berkata, situasi itu (peningkatan kes denggi) tidak boleh ditangani Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) saja sebaliknya memerlukan bantuan dan kerjasama masyarakat setempat dan agensi lain.

“JKNJ sentiasa memberi tindak balas cepat dalam menangani wabak denggi, namun bantuan dan kerjasama secara kolektif dan efektif terutamanya dari masyarakat setempat, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi menjayakan agenda pencegahan denggi.

“Masyarakat perlu peka akan kebersihan tempat tinggal, pejabat, kenderaan dan sebagainya serta perlu sentiasa menjaga kebersihan, itu saja yang boleh membantu kita mencegah pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Program Gotong-Royong Mega diadakan serentak di seluruh negara dan di Johor, hari ini bertujuan menggerakkan semua masyarakat keluar membersihkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 1:08 PM