LONGGOKAN besar sampah yang tidak dikutip menakung air menjadikan tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan risiko demam denggi.
LONGGOKAN besar sampah yang tidak dikutip menakung air menjadikan tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan risiko demam denggi.
Fairul Asmaini dan Suliati Asri


Kuala Lumpur: "Melihat pesakit sebelah katil meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan denggi, saya akui memang gementar dan terbayang akan mati sahaja terutama bila doktor memaklumkan perlu jalani rawatan plasma darah jika bacaan platelet masih tidak berubah, saya menjadi semakin takut.

"Namun saya tidak putus berdoa supaya dapat disembuhkan dan turut memaklumkan kepada isteri semua perkara berkaitan hutang, simpanan serta lain-lain urusan sebagai persediaan jika ajal sudah tiba," kata bekas pesakit denggi, Mahmud Muhd Tayop, 60.

Berkongsi pengalamannya melawan penyakit itu, Mahmud berkata sepanjang seminggu di hospital, bacaan suhu badannya sentiasa turun naik manakala badannya juga terasa seperti dicucuk jarum.

Katanya, kesakitan yang dialami itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan bukan seperti demam biasa.

"Selain itu, hidung juga berdarah dan setiap kali memberus gigi, gusi juga akan berdarah," katanya.

Menurut Mahmud lagi, keperitan dijangkiti virus itu membuatkan dia bertekad melawannya dan kembali sembuh.

Untuk itu, selain rawatan di hospital, Mahmud turut mencuba pelbagai rawatan alternatif termasuk petua pemakanan yang dikongsikan ramai.

"Apa sahaja petua orang ramai daripada sup ketam, air tebu hitam mahu pun pucuk betik yang dikatakan dapat membantu mengurangkan simptom demam denggi, saya cuba.

"Alhamdulillah, selepas hampir seminggu di hospital, bacaan platelet semakin baik, saya juga tidak perlu melakukan proses terbabit (rawatan plasma darah) dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Jelas Mahmud lagi, meskipun peristiwa itu sudah lama berlaku namun sehingga sekarang dia masih trauma.

Ia menyebabkan Mahmud pantang melihat nyamuk dan bekas air bertakung di dalam mahupun luar rumahnya

Kata Mahmud, jika mahu meninggalkan rumah untuk berkunjung ke rumah anak atau ke mana-mana, dia dan isteri akan pastikan air dalam kolah atau tong air akan dikosongkan supaya tiada nyamuk membiak.

"Selain itu, kawasan di sekitar rumah juga sentiasa diperiksa sekurang-kurangnya sekali seminggu.

"Kesakitan disebabkan jangkitan virus denggi masih tidak dapat dilupakan sehingga sekarang dan saya tidak mahu anggota keluarga yang lain mengalami nasib yang sama" katanya.

Sementara itu, pengalaman dijangkiti denggi sebanyak empat kali benar-benar menguji Lukman Hakim Ariffin, 32,

Perunding takaful itu berkata, setiap kali kena jangkitan virus berkenaan, tahap kesakitan dan gejala yang dirasai berbeza.

"Semasa pertama kali dijangkiti denggi, selain sakit urat, saya juga mengalami sakit sendi dan demam yang sangat tinggi. Begitu juga yang kedua dan ketiga.

"Untuk kali empat, selain demam, kepala juga sangat sakit dan berasa pening yang berpanjangan.

"Selain itu, saya juga tidak dapat melirik mata ke kanan atau kiri kerana ia berasa sakit dan tidak selesa," katanya yang turut dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan.

Menurut Lukman Hakim lagi, walaupun gejala yang dialami tidak seteruk denggi berdarah, namun doktor yang merawat memberitahu virus itu boleh menyerang organ lain, lebih-lebih lagi bagi yang sudah beberapa kali dijangkiti.

Disebabkan itu, dia akan segera ke klinik untuk membuat pemeriksaan darah sekiranya mengalami demam yang tinggi dan merasa kesakitan seperti gejala denggi.

Berkongsi pengalamannya, Lukman Hakim berkata, pesakit denggi perlu mendapatkan rehat yang cukup selain minum air yang secukupnya.

Selain itu, pesakit juga perlu makan secukupnya kerana jika kekurangan nutrisi, ia akan melambatkan proses penyembuhan

"Boleh makan atau minum apa sahaja asalkan berkhasiat. Pengambilan makanan tambahan juga boleh diamalkan untuk membantu proses penyembuhan," katanya.

PLAT besi yang diisi dengan darah lembu diletakkan di atas bekas khas penyimpanan nyamuk untuk diberikan makan kepada nyamuk Aedes aegypti berWolbachia.
PLAT besi yang diisi dengan darah lembu diletakkan di atas bekas khas penyimpanan nyamuk untuk diberikan makan kepada nyamuk Aedes aegypti berWolbachia.

Perangi nyamuk dengan nyamuk

Kuala Lumpur: Guna nyamuk 'generasi baharu' untuk melawan nyamuk.

Jika dilihat dengan mata kasar, nyamuk Aedes aegypti berWolbachia kelihatan hampir sama dengan nyamuk pembawa denggi, Aedes aegypti.

Namun apa yang istimewa mengenai nyamuk ini, ia mengandungi sejenis bakteria, Wolbachia yang dapat membantu mengekang penularan demam denggi yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti.

Wolbachia adalah bakteria hidup dalam sel serangga yang wujud sejak berkurun tahun dahulu dan diwarisi kepada generasi seterusnya melalui telur.

Secara semulajadi, Wolbachia terdapat dalam lebih 60 jenis serangga dan ia tidak berbahaya sama ada kepada manusia, haiwan mahupun alam sekitar.

Nyamuk Aedes aegypti akan disuntik dengan bakteria Wolbachia adalah salah satu kaedah pencegahan denggi, zika dan chikungunya di Malaysia ketika ini.

Strategi Wolbachia itu bertujuan menggantikan populasi nyamuk Aedes sedia ada kepada nyamuk Aedes Wolbachia sekaligus menjadikan nyamuk berkenaan tidak dapat memindahkan virus denggi kepada manusia.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Wan Ming Keong berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Jawatankuasa Vector Control Advisory Group di Geneva pada Mac 2016, menyarankan teknologi Wolbachia sebagai salah satu strategi mengawal denggi.

Kaedah itu turut digunakan di beberapa negara seperti Australia, Indonesia dan Brazil. Ia menunjukkan penurunan kes di antara 38 peratus hingga 77 peratus di lokaliti pelepasan nyamuk berWolbachia (World Mosquito Programme).

Dr Wan berkata, mengambil kira kejayaan beberapa negara serta kejayaan kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tahun 2017, kerajaan melaksanakan kaedah itu secara operasi di kawasan yang mencatatkan kes demam denggi tinggi.

Katanya, Malaysia adalah negara kedua yang melaksanakan pelepasan nyamuk berWolbachia secara operasi selepas Australia.

"Hasil penyelidikan yang dilakukan oleh IMR dari tahun 2017 hingga 2019 menunjukkan penurunan kes denggi di lokaliti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia iaitu sebanyak 40 peratus berbanding lokaliti tanpa pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia.

"Kini, kaedah itu masih dalam fasa kajian untuk negara Brazil, Singapura, Indonesia, Paraguay dan Burkina Faso," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Wan lagi, Wolbachia adalah sejenis bakteria yang terdapat secara semulajadi dalam kalangan serangga seperti pepatung, rama-rama, lalat buah, dan lebah madu.

Walau bagaimanapun Wolbachia tiada pada nyamuk Aedes aegypti secara semulajadi.

Kata Dr Wan, jika nyamuk Aedes berWolbachia menggigit pesakit denggi, ia tidak dapat menularkannya kepada individu lain kerana penyekatan berlaku di dalam nyamuk itu.

Katanya, bakteria Wolbachia yang terdapat di dalam nyamuk Aedes jantan menyebabkan berlakunya fenomena ketidakserasian sitoplasma.

"Apabila nyamuk Aedes jantan berWolbachia mengawan dengan nyamuk betina liar (dari kawasan sekitar), telur yang dihasilkan tidak berkembang.

"Selain itu, bakteria Wolbachia di dalam nyamuk Aedes betina juga boleh merencatkan replikasi virus seperti virus denggi dan virus zika, fenomena ini dikenali sebagai gangguan patogen (pathogen interference).

"Terdapat beberapa strain Wolbachia terbabit dalam kajian, antaranya adalah wAu (Australia), wAlbB (Sri Lanka, Malaysia, Singapura), wMelPop (Brazil, Indonesia, Australia, Vietnam) dan wMel (Indonesia, Colombia)," katanya,

Mengulas lanjut mengenai strategi berkenaan, Dr Wan berkata, sehingga kini terdapat 28 lokaliti di seluruh negara yang terbabit dengan pelepasan nyamuk berkenaan dan pihak KKM mensasarkan sebanyak 10 lokaliti pelepasan baharu setiap tahun.

Antara lokaliti yang terbabit adalah di Selangor iaitu sekitar daerah Petaling Jaya iaitu di SS7 Kelana Putra Condominium, Putri Condominium, Seksyen 7 Pangsapuri Baiduri, PJU 6 Pelangi Damansara, Seksyen 3 Puchong (Pangsapuri Vista Lavender), PJS 5 dan 6 Desa Mentari, Pangsapuri Perdana, Seksyen 15 Dataran Otomobil, Seksyen U5 Pangsapuri Subang Suria, dan PJS 9 Pangsapuri Lagoon Perdana.

Di Kuala Lumpur kawasan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia ketika ini adalah di Pangsapuri Sri Penara dan PPR Desa Tun Razak (Cheras), Pangsapuri Sri Rakyat (Lembah Pantai), Desa Setia Wira dan PPR Desa Rejang (Titiwangsa).

Manakala di Putrajaya, nyamuk Aedes berWolbachia turut dilepaskan di Presint 14 Sub 7 dan Sub 12.

Di Pulau Pinang pula, ia membabitkan lokaliti di Flat Bukit Gedung (Barat Daya), Flat Taman Inderawasih (Seberang Perai Tengah), Taman Manggis (Timur Laut) dan Taman Bagan Jaya (Seberang Perai Utara).

Terdapat dua lokaliti di Kelantan yang turut menerima nyamuk Aedes berWolbachia iaitu di Kubur Maras dan Pondok Terusan di Kota Bharu.

Selain itu, dua lokasi di Kuantan, Pahang iaitu di PPRS Pinggiran Putra dan Taman Impianku serta PPR Kempas di Johor termasuk Taman Bemban Jaya, Jasin, Melaka turut terbabit dalam projek pelepasan nyamuk berkenaan.

Jelas Dr Wan lagi, pelepasan nyamuk itu membabitkan proses pemilihan lokaliti, libat urus pemegang taruh termasuk komuniti, persediaan kawasan lokaliti, perancangan jadual pelepasan nyamuk mengikut fasa serta penyediaan bekalan nyamuk Aedes berWolbachia di makmal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 12:00 PM