ISMAIL Sabri (dua, kiri), menyampaikan benih padi kepada wakil pesawah ketika Majlis Penyerahan Benih Padi IS21, di Balai Raya Kampung Semaloi, Mersing. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ISMAIL Sabri (dua, kiri), menyampaikan benih padi kepada wakil pesawah ketika Majlis Penyerahan Benih Padi IS21, di Balai Raya Kampung Semaloi, Mersing. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamed Farid Noh

Mersing: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pembangunan varieti padi baharu yang tidak rosak ditenggelami banjir serta tidak menggunakan air yang banyak.

Sehubungan itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diminta memberi tumpuan kepada penghasilan dua jenis benih yang mampu memberi pulangan serta kualiti hasil padi yang baik.

Katanya, langkah bagi membangunkan dua varieti padi baharu itu bukan sahaja mampu mengurangkan kerugian ditanggung pesawah serta petani apabila bencana banjir menenggelamkan sawah padi malah boleh

Menurutnya, MOSTI dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu buat kajian supaya dapatkan hasil dua varieti padi baharu yang dapat bertahan apabila ditenggelamkan banjir serta tidak menggunakan banyak air.

"Di Filipina dan India ada benih padi yang tahan apabila ditenggelami air banjir. Negara kita ketika ini tak tentu bila berlaku banjir, kadangkala masa padi sedang ranum atau pun anak padi sedang membesar tetapi ditenggelami banjir sehingga tanaman padi musnah.

"Keduanya, padi yang tidak memerlukan air yang banyak dan menggunakan kaedah siraman seperti pokok bunga, jadi ia tak perlu tali air yang memerlukan belanja besar, namun hanya guna 'sprinkler', sekali gus mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan.

"Sebelum ini, MARDI ada membangunkan varieti padi tidak menggunakan banyak air, namun hasil pengeluarannya tidak tinggi dan hanya antara tiga dan empat tan sahaja. Oleh itu, saya berpendapat MOSTI dan MARDI perlu bekerjasama membangunkan dua varieti padi baharu ini supaya ia lebih berkualiti dan dapat membantu pesawah kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada Komuniti Endau, di FELCRA Sri Mahkota Endau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Dalam program itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut menyampaikan 500 guni benih padi IS21 seberat 20 kilogram (kg) setiap satu kepada wakil komuniti Endau.

Benih padi IS21 itu dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia, agensi di bawah MOSTI yang dijana melalui teknologi nuklear.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, benih padi IS21 itu beliau lancarkan pada pada 20 November lalu di Sekinchan, Selangor.

"Alhamdulillah, pesawah dan petani yang telah menggunakan padi benih IS21 ini telah memberi maklum balas positif.

"Lebih istimewa, kos pengurusan sawah juga telah dapat dikurangkan memandangkan penanaman padi jenis ini tidak memerlukan penggunaan baja yang banyak.

"Berdasarkan maklum balas ini, saya percaya, jika dilebar luas penggunaan benih padi IS21 di Endau, pesawah dan petani juga akan dapat menikmati manfaat daripada segi peningkatan pendapatan dan seterusnya taraf hidup mereka.

"Baka padi IS21 ini juga berpotensi menghasilkan padi sehingga sembilan tan sehektar mengikut kawasan penanaman dan amalan kultura pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 8:29 PM