ISMAIL Sabri (dua, kiri) melancarkan benih padi IS21. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ISMAIL Sabri (dua, kiri) melancarkan benih padi IS21. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim dan Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Baka padi baharu, dikenali sebagai IS21 mampu mengeluarkan hasil padi sehingga sembilan tan sehektar dengan hasil tuaian meningkat antara 40 hingga 67 peratus, sekali gus meningkatkan sara diri padi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, IS21 yang dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa hadapan.

Menurutnya, inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menghasilkan varieti padi baharu itu adalah usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

"Kerajaan sentiasa memastikan usaha bagi mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras dilakukan secara proaktif termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan lagi keupayaan.

"Namun, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata tetapi memerlukan usaha bersama sebagaimana sering saya tekankan iaitu keterangkuman serta kebersamaan yang menjadi teras utama konsep Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran benis padi IS21 di Sekinchan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Mosti Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, usaha Mosti dalam memantapkan penyelidikan teknologi makanan adalah selaras sasaran utama kerajaan ke arah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, program penyelidikan, pembangunan, pengkormesilan dan inovasi (R&D&C&I) dikenal pasti sebagai antara teras utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu pelan pembangunan menyeluruh untuk manfaat Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

Katanya, kemajuan yang diraih Mosti membantu negara bersiap siaga mendepani cabaran keselamatan serta bekalan makanan mencukupi berikutan jangkaan peningkatan penduduk dunia menjelang 2050.

"Benih padi IS21 yang dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia di bawah Mosti ini menerima pengiktirafan daripada 'International Atomic Energy Agency dan Food and Agriculture Organisation' sempena Persidangan Agong ke-65 di Vienna, Austria pada September lalu.

"Pengiktirafan yang diterima adalah bagi Anugerah Pencapaian dalam Bidang Biak Baka Mutasi Tanaman. Benih padi IS21 ini adalah bukti kejayaan kerajaan melalui Mosti dan Agensi Nuklear Malaysia yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan melalui Bajet 2022 meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi dengan peruntukan RM1.53 bilion yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara, dengan mengurangkan kos sehingga 60 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran padi.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur, bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.

Pendekatan itu katanya, dijangka berupaya mewujudkan persekitaran industri kawal selia kendiri seterusnya mengurangkan pembabitan serta pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:04 PM