Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Teknologi benih padi baharu IS21 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini mampu memenuhi kira-kira 70 peratus permintaan bekalan makanan global menjelang 2050.

Sekretariat Sukan dan Rekreasi Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Fatin Amirah Ahmad Amri berkata, masalah kekurangan bekalan makanan di Malaysia juga dapat diatasi susulan peningkatan produktiviti penanaman padi.

Katanya, varieti MR219 adalah benih induk kepada IS21 yang mudah terdedah kepada serangan penyakit dan boleh mendatangkan penurunan hasil penuaian padi sehingga 50 peratus.

"Justeru, dengan pengeluaran benih IS21 yang didaftarkan sebagai varieti NMR152 di Bahagian Perlindungan Varieti Tumbuhan, Jabatan Pertanian ini, ia mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, pengeluaran hasil yang cepat dan mempunyai kualiti lebih baik dari segi zat dan nutrisi.

"Penggunaan racun perosak juga dikurangkan hingga 20 peratus kerana biak baka mutasi aruhan sinar gama mempunyai ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan juga perlu memberikan fokus mendalam ke atas pengeluaran menggunakan teknologi baharu bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan masyarakat.

Sementara itu, Pengarah syarikat pembekal beni padi, Haji Md Nor Bin Haji Abd Rahman (M) Sdn Bhd (HMN), Datuk Mansor Abd Rahman berkata, pihaknya menyambut baik usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam memperkenalkan varieti padi IS21.

Menurutnya, pengenalan varieti padi berkenaan dapat membantu mengatasi cabaran perubahan persekitaran yang dihadapi oleh pesawah.

"Teknologi biak baka mutasi ini amat diperlukan bagi mempercepatkan pengeluaran varieti baharu yang mempunyai ketahanan kepada perubahan persekitaran," katanya.

Sementara itu, pesawah Khairul Amirin Khairuddin berkata, pengenalan dan pembaharuan kepada varieti padi dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah menerusi peningkatan hasil padi.

Menurutnya, inovasi baharu ini mampu meningkatkan tahap imuniti dan kerintangan pokok terhadap penyakit serta perosak tanaman.

"Bahkan, ia turut membuktikan agensi seperti Mosti mampu melangkah ke era baharu dapat penciptaan varieti padi baharu berdasarkan pengenalan kepada bahan nuklear untuk mendapatkan ciri yang sesuai dengan situasi dan keadaan padi negara.

"Ia sekali gus mampu memberi saingan dengan bekalan padi import yang ada dek peningkatan kualiti yang memberansangkan berbanding padi tempatan dan import lain di pasaran tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 7:07 PM