DATUK Seri Ahmad Hamzah. FOTO Luqnman Hakim Zubir
DATUK Seri Ahmad Hamzah. FOTO Luqnman Hakim Zubir
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kelewatan proses penghantaran benih padi sah kepada lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis berlaku berikutan perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya tidak boleh terus menghantar benih padi yang dikeluarkan pembekal tanpa melalui ujian bagi memastikan kualitinya sebelum pengesahan dapat dibuat.

Katanya, pihak makmal perlu mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bagi melakukan beberapa ujian antaranya bagi memastikan tahap kelembapan, kemampuan percambahan dan ketulenan biji benih berkenaan.

"Kita terima hakikat memang ada sedikit kelewatan berlaku dalam pengedaran benih padi sah kepada pesawah mengikut jadual dan fasa ditetapkan berikutan tempoh rehat antara musim penanaman pertama dan kedua yang terlalu singkat.

"Pengilang menghasilkan benih padi pada waktu rehat berkenaan dan ia perlu dihantar ke Jabatan Pertanian bagi proses ujian sebelum disahkan dan dihantar ke pemborong dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan seterusnya sampai kepada pesawah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Bisnes Menjadi 2.0 yang diadakan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Pertanian dan Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Selasa lalu, Badan Bertindak Petani MADA mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada PPK sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain, mendakwa pihaknya kecewa apabila masalah pengagihan benih padi masih berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini, selain tiada penyelesaian diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagaimanapun kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan benih padi sah adalah mencukupi bagi diagihkan kepada semua pesawah di seluruh negara dan proses agihan sedang dilakukan pengedar.

"Saya sudah melawat kilang pengeluar benih padi antara terbesar dan mendapati bekalan benih berkenaan bagi musim tanaman ini adalah cukup, malah berlebihan daripada keperluan pesawah.

"Cuma ada masalah pada pengeluaran varieti MR297 yang menjadi kegemaran pesawah kerana kita kalau boleh tidak mahu hanya satu varieti sahaja digunakan, sebaliknya pesawah boleh menanam varieti lain yang setanding MR297," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan pesawah agar diberi kebenaran mengeluarkan benih padi sendiri melalui PPK, beliau berkata proses penyediaan benih sepatutnya dilakukan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Kita nasihatkan pesawah hanya menggunakan benih padi yang dikeluarkan pihak yang mempunyai kuasa iaitu MARDI kerana mereka yang melakukan penyelidikan dan mengesahkan jenis padi yang patut ditanam.

"Kita bimbang sekiranya pesawah hasilkan benih padi yang tidak disahkan Jabatan Pertanian sebagai bermutu, ia akan menyebabkan kesan lain termasuk tidak mampu memberi hasil sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:48 PM