EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika mengadakan lawatan di tapak kajian Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Padi Varieti MR297, di Kampung Sempang, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika mengadakan lawatan di tapak kajian Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Padi Varieti MR297, di Kampung Sempang, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Jasin: Kerajaan Negeri Melaka membangunkan projek perintis penghasilan benih varieti padi M297 untuk menampung keperluan pesawah di negeri ini.

EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, projek dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu membabitkan kawasan sawah seluas 10 hektar di Kampung Sempang, Merlimau di sini.

Kata beliau, susulan kejayaan projek rintis berkenaan, pihaknya bercadang untuk meluaskan usaha penanaman padi terbabit ke beberapa hektar lagi di kawasan itu yang dijangka bermula awal tahun depan bagi memastikan golongan pesawah di Melaka mendapat bekalan benih padi secukupnya.

"Ini antara inisiatif kerajaan negeri bagi menggalakkan pesawah menanam padi jenis M297, sekali gus memastikan pengeluaran beras di Melaka dapat dipertingkatkan untuk jangka masa panjang.

"Sebelum ini, mereka perlu mendapatkan bekalan benih dari luar selain berdepan kesukaran mendapat benih varieti M297 ini sehingga menyukarkan menghasilkan padi yang banyak.

"Namun, selepas menggunakan benih jenis ini, saya yakin mereka mampu menghasilkan tuaian dua hingga tiga kali ganda semusim," katanya.

Beliau ditemui ketika melawat tapak kajian Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Padi Varieti MR297 di Kampung Sempang, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras Mardi Dr Mohd Syaifudin Abdul Rahman dan Pengarah Mardi negeri, Nik Adli Nik Muhammad.

Dr Muhamad Akmal berkata, hasil kajian Mardi terhadap benih padi berkenaan mendapati, padi M297 amat baik dan sesuai ditanam di Kampung Sempang yang juga kawasan tadahan hujan.

Katanya, kebiasaan padi yang ditanam bagi kawasan bukan jelapang hanya mengeluarkan hasil sekitar dua atau tiga tan sehektar tetapi varieti M297 ini mampu mencapai pengeluaran hasil dua hingga tiga kali ganda, bergantung kepada sumber air dan nutrien.

"Benih varieti ini juga mampu bertahan walaupun kekurangan 20 peratus air di kawasan penanaman tadahan hujan yang bergantung kepada sumber air hujan dan sungai berbanding penanaman di jelapang yang mempunyai sistem pengairan yang baik.

"Kita akan bekerjasama dengan Mardi dan agensi berkaitan untuk memulakan projek rintis tanaman benih ini supaya dapat dihasilkan dalam tempoh antara setahun setengah hingga dua tahun akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 3:18 PM