TAJUDDIN (tiga dari kanan) bersama Othman (kanan) melihat pertunjukkan pesawat kawalan jauh yang digunakan untuk memantau penyakit padi.
TAJUDDIN (tiga dari kanan) bersama Othman (kanan) melihat pertunjukkan pesawat kawalan jauh yang digunakan untuk memantau penyakit padi.
VARIETI padi MR284 yang dihasilkan MARDI.
VARIETI padi MR284 yang dihasilkan MARDI.
TAJUDDIN dan Othman melihat varieti padi MR284.
TAJUDDIN dan Othman melihat varieti padi MR284.
TAJUDDIN menaiki mesin memotong padi.
TAJUDDIN menaiki mesin memotong padi.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan benih padi varieti MR284 yang lebih tegap dan tahan rintangan penyakit.

Varieti MR284 diperkenalkan sebagai pelengkap varieti sedia ada selain memberikan hasil lebih tinggi dan tekstur nasi yang lembut.

Benih itu juga diklasifikasikan sebagai tahan lasak kerana mampu menahan tiupan angin dan ribut di kawasan sawah padi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pesawah perlu mengambil peluang untuk menanam varieti itu.

“Mereka perlu mematuhi dan melaksanakan pakej pengurusan pengeluaran MR284 yang khusus untuk mendapatkan hasil yang tinggi dan mengurangkan serangan penyakit dan perosak.

“MARDI menjalankan penyelidikan selama 13 tahun terhadap benih padi itu dan mengujinya di beberapa kawasan sawah padi termasuk di Pida 4 Deli di sini, Tanjung Karang, Selangor, Kerian, Perak dan Seberang Prai, Pulau Pinang.

“Kami berharap benih padi berkualiti tinggi ini dapat menghasilkan sembilan hingga 10 tan hasil bagi setiap hektar padi,” katanya ketika merasmikan Majlis Pengisytiharaan Varieti Padi MARDI 284 di Jerlun, Kedah, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron dan Pengurus Besar MADA Md Zuki Ismail.

Beliau berkata, benih padi itu boleh digunakan pesawah pada musim penanaman padi baru yang bermula Oktober ini.

“Benih padi berkualiti tinggi itu mampu mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan 70 peratus import beras.

“Beras yang dihasilkan pesawah di seluruh negara hanya 30 peratus dan ia tidak cukup untuk menampung permintaan tempatan terhadap makanan ruji itu.

“Sasaran kami untuk capai tahap 100 peratus tahap sara diri supaya tidak perlu mengimport beras,” katanya.

Sementara itu, MARDI melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti baru selama lebih 10 tahun.

“MR284 ini mempunyai kerintangan yang lebih baik terhadap penyakit karah daun dan sederhana kepada bena perang berbanding MR219.

“Secara purata, varieti ini mempunyai daya pengeluaran hasil yang lebih 7.2 peratus daripada varieti MR219 dan MR263.

“Ia matang sekitar 108 hari selepas tabur, tiga hari lebih awal dari MR219,” katanya.

Menurutnya, hasil tertinggi yang pernah dicatatkan MR284 ini ialah sebanyak 9.2 tan sehektar.

“MARDI sudah menghasilkan 41 varieti padi dengan hampir 95 peratus benih dapat meningkatkan hasil dan mengurangkan masalah penyakit padi.

“Pada 2010, MARDI menghasilkan empat varieti iaitu MR253, MR263, MR220 CL 1 dan MR220 CL 2 sebagai pengganti kepada varieti MR219 dan MR220 selain berjaya menghasilkan varieti MR269 pada 2012,” kataya.

Pada majlis itu, Tajudin turut menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARDI dan MADA membabitkan tujuh sektor antaranya pembangunan varieti padi, pembangunan dan penggunaan teknologi penanaman padi serta pengurusan kawalan perosak dan penyakit padi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:09 AM