KHIRUDIN Drahman (tengah) pada sidang media selepas majlis taklimat pencapaian statistik operasi dan penyelamatan JBPM Sarawak di Ibu Pejabat JBPM Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
KHIRUDIN Drahman (tengah) pada sidang media selepas majlis taklimat pencapaian statistik operasi dan penyelamatan JBPM Sarawak di Ibu Pejabat JBPM Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 20 balai baharu untuk menampung keperluan khususnya di kawasan luar bandar.

Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, ia adalah bagi mencapai jumlah ideal untuk balai bomba di Sarawak sebagai tambahan kepada 36 balai sedia ada.

Beliau berkata, dengan jumlah sekurang-kurangnya 56 balai akan memastikan pasukan penyelamat itu dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisyen.

"Itu adalah jumlah ideal balai bomba berdasarkan keluasan Sarawak dan tahun ini tiga balai yang baru siap dibina iaitu di Kidurong di Bintulu, Asajaya di Samarahan dan Lutong di Miri akan diserahkan pada hujung bulan ini atau pada bulan Februari depan menjadikan jumlah keseluruhan balai kini 38 kerana balai sedia ada di Asajaya adalah balai sementara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis taklimat pencapaian statistik operasi dan penyelamatan JBPM Sarawak di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini, hari ini.

Khirudin berkata, bagi menampung keperluan sementara ketiadaan balai di kawasan tertentu, pihaknya menggunakan khidmat Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Pasukan Bomba Komuniti selain melatih masyarakat pedalaman mengenai asas penyelamatan dan pencegahan kebakaran.

Menurutnya, JBPM Sarawak berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi membina balai tambahan bagi mencapai jumlah ideal itu dengan pelbagai kaedah termasuk mendapatkan bantuan kerajaan Sarawak.

"Kaedah itu dilaksanakan dalam pembinaan sekolah dan hospital apabila kerajaan negeri Sarawak mendahulukan peruntukkan pembinaannya.

"Tidak mustahil kaedah sama dapat kita laksanakan untuk pembinaan balai bomba kerana perlindungan kebakaran itu adalah dasar kerajaan kita dan ia termasuk dalam akta," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada tujuh penduduk Rumah Panjang Dennis Nyalambai, Saratok yang bertindak pantas menyelamatkan kediaman mereka menggunakan alat pemadam api dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 12 Januari lalu.

Mereka ialah Anthony Gasah Ipun, Asson Juan, Anyai Jingan, Spencer Nanang Anji, Evanda Dana Manan, Evanhoe Melaka Manan dan Sylvester Undi Asson.

"Mereka adalah wira sebenar apabila berjaya menyelamatkan rumah panjang itu daripada musnah dijilat api," katanya.

Mengenai prestasi JBPM Sarawak sepanjang tahun lalu, Khirudin berkata, pihaknya menerima 14,054 panggilan berbanding 9,386 pada tahun 2020.

Daripada jumlah itu, 1,975 adalah panggilan kebakaran; 8,331 panggilan penyelamatan; 3,740 panggilan tugas-tugas khas manakala tujuh panggilan palsu.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 308 kes kebakaran rumah direkodkan dan ia meningkat berbanding 287 kes pada tahun 2020.

"Jumlah kematian akibat kebakaran pula menurun dengan hanya dua direkodkan berbanding 13 kes pada tahun 2020," katanya.

Menurutnya lagi, nilai kerugian harta benda akibat kebakaran turut meningkat tahun lalu iaitu sebanyak RM59.7 juta berbanding RM49.3 juta pada tahun 2020.

"Nilai harta benda yang berjaya diselamatkan juga menurun iaitu sebanyak RM289 juta tahun lalu berbanding RM652.6 juta pada tahun sebelumnya.

"Jumlah kebakaran membabitkan rumah panjang pula meningkat dua kes iaitu sebanyak 18 berbanding 16 kes pada 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:50 PM