GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

SEBANYAK 120 kes kebakaran rumah panjang dilaporkan di Sarawak antara 2015 sehingga 31 Julai tahun ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, tiga kes kematian akibat kebakaran dilaporkan antara 2015 dan 2019, sementara tiada kematian dilaporkan tahun ini.

"Zon Sibu mencatatkan jumlah kebakaran paling banyak sejak lima tahun lalu iaitu sebanyak 38 kes, diikuti Sri Aman (26 kes), Bintulu (23 kes), Miri (22 kes), Limbang (enam kes) dan Samarahan (lima kes)," katanya pada sidang media di ibu pejabat JBPM Sarawak di Kuching hari ini.

Menurutnya, zon Sibu dan Sri Aman mencatatkan jumlah kebakaran rumah panjang tertinggi memandangkan kedua-dua zon berkenaan mempunyai taburan kediaman itu yang terbanyak di negeri ini dan ada antara kediaman tersebut hanya dapat dihubungi menggunakan laluan sungai.

"Di zon Kuching, kita (JBPM Sarawak) tidak ada menerima sebarang kes kebakaran rumah panjang (sejak 2015 hingga 31 Julai 2020)," katanya.

Khirudin berkata, kebanyakan kes kebakaran rumah panjang berlaku antara 6 pagi dan 6 petang, ketika hanya kanak-kanak dan golongan tua sahaja berada di rumah panjang manakala golongan dewasa berada di kebun atau melakukan aktiviti di luar.

"Punca kebakaran rumah panjang ialah elektrik iaitu sebanyak 54 kes, diikuti peralatan gas sebanyak 29 kes, api berbara sebanyak 18 kes, mancis atau pemetik api sebanyak lapan kes, pelita sebanyak lima kes, lilin sebanyak tiga kes dan lain-lain punca sebanyak tiga kes," katanya.

Beliau berkata, bagi mencegah kebakaran seperti itu, JBPM Sarawak akan membantu melengkapkan penghuninya dengan alat pemadam api, menubuhkan pasukan bomba sukarela, mendidik mereka tentang amalan tidak selamat seperti merokok atau menyimpan minyak enjin bot di dapur.

Selain itu, pihaknya juga akan berusaha menambah bilangan balai bomba di kawasan luar bandar negeri ini termasuk empat balai bomba di zon Sibu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 3:58 PM