Ruhisha Haris. FOTO BERNAMA
Ruhisha Haris. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kangar: Peranan Bomba Komuniti dalam memberi pendidikan mengenai keselamatan dan kesedaran pencegahan kebakaran menyumbang kepada penurunan jumlah panggilan kecemasan di Perlis dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris berkata, tahun lalu pihaknya menerima 979 panggilan yang membabitkan 508 panggilan memadamkan api, 467 panggilan penyelamatan dan empat panggilan tugas khas.

Katanya, jumlah itu menurun berbanding 1,287 panggilan pada 2020, melibatkan 911 panggilan kebakaran, 369 panggilan penyelamatan dan tujuh panggilan tugas khas.

"Anggota Bomba Komuniti diberi latihan asas oleh pihak JBPM agar mereka membantu mangsa dan juga berperanan sebagai mata, telinga dan mulut JBPM dalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tatacara mengendalikan kejadian kebakaran," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, peranan badan sukarelawan itu amat penting kerana mereka adalah responden pertama di tempat kejadian apabila berlaku kecemasan dan akan membantu mangsa sebelum ketibaan jentera bomba.

Menurutnya, Perlis kini memiliki 606 ahli yang menganggotai 49 pasukan Bomba Komuniti, dengan pasukan yang aktif adalah Bomba Komuniti Kampung Alor Ara Timur, Pauh, Padang Siding, Taman Sri Wang, Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau, Kayang, Bintong, Taman Sepadu dan Taman Beseri Indah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 12:40 PM