GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak 34 panggilan palsu diterima Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bagi tempoh antara Januari hingga Oktober lalu.

Kebanyakan panggilan palsu yang diterima membabitkan dakwaan berlaku kebakaran diikuti penyelamatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak di daerah Timur Laut dan BBP Perai di Seberang Perai adalah yang paling banyak menerima panggilan palsu.

"Boleh dikatakan bahawa 90 peratus daripada panggilan palsu itu membabitkan kebakaran manakala 10 peratus lagi penyelamatan.

"Jumlah panggilan palsu itu bagaimanapun menurun sebanyak satu peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mohd Hafiz Hafizal lagi, tindakan yang diambil bomba bagi mengekang panggilan palsu adalah bekerjasama dengan pihak MERS 999 iaitu memperincikan maklumat diterima sebelum mengatur gerak ke tempat insiden.

"Sepanjang 2020 dan 2021 lalu, masing-masing sebanyak 42 kes direkod membabitkan panggilan palsu," katanya.

Menurut statistik yang dikeluarkan JBPM Pulau Pinang, pihak berkenaan menerima keseluruhan sebanyak 1,808 panggilan berhubung kebakaran, penyelamatan (3,612) dan khidmat khas (633) sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Daripada jumlah itu, dilaporkan seramai dua mangsa mati dalam kebakaran, 25 cedera dan 38 berjaya diselamatkan.

Manakala taksiran kerugian bagi tempoh yang sama pada tahun ini berjumlah RM169.641juta dan taksiran diselamatkan berjumlah RM1.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 10:23 AM