Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak memerlukan 21 lagi balai bomba pelbagai kategori bagi memenuhi keperluan di semua 46 daerah termasuk di kawasan pedalaman.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata, ketika ini Sarawak mempunyai sebanyak 39 balai bomba dengan sebahagian besarnya di bandar utama serta pekan yang besar.

Menurutnya, berdasarkan kajian risiko yang dilaksanakan oleh pihaknya, Sarawak memerlukan 60 balai bomba untuk memastikan keupayaan perkhidmatan maksimum.

"JBPM menetapkan perlindungan kebakaran serta penyelamatan maksimum kepada masyarakat dan ia memerlukan penambahan balai.

"Kita sedar kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan namun pada masa sama, kita memang mengharapkan ada penambahan balai baharu di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Perayaan Aidilfitri di Bazar Ramadan Stutong yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, hari ini.

 Khirudin (kiri) mengiringi Dr Sim ketika pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Perayaan Aidilfitri di Bazar Ramadan Stutong. FOTO Nadim Bokhari
Khirudin (kiri) mengiringi Dr Sim ketika pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Perayaan Aidilfitri di Bazar Ramadan Stutong. FOTO Nadim Bokhari

Mengulas lanjut, Khirudin berkata, dalam usaha untuk menambah bilangan balai, syarat dan kriteria pembinaan balai bomba di Semenanjung antaranya bergantung kepada kepadatan penduduk di kawasan itu tidak boleh digunakan di Sarawak.

Ia berikutan faktor geografi yang berbeza serta taburan penduduk yang berselerak khususnya di kawasan luar bandar.

"Sebab itu kita (JBPM Sarawak) selalu merayu agar pembinaan balai bomba baharu di Sarawak tidak sepatutnya mengikut kamus di Semenanjung.

"Kita meminta pertimbangan khas untuk membina balai baharu di sesuatu kawasan," katanya.

Menurutnya, antara pertimbangan yang perlu diberi perhatian ialah menaik taraf Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Sekarang terdapat sebanyak 56 PBS di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan jika ada peruntukan, kita boleh PBS itu untuk beroperasi sebagai balai bomba kategori E," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:41 PM