Baharom Bakar

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan semua pasar raya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hanya dibenarkan beroperasi sehingga 2 petang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, semua pasar raya di kawasan PKPD dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Beliau berkata, maklumat palsu yang tular di laman sosial sejak semalam itu menjadi punca utama berlakunya pembelian barangan keperluan secara panik.

"Kami sudah membuat semakan dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka menafikan mengeluar notis tempoh operasi pasar raya hanya sehingga 2 petang.

"Walaupun kerajaan mengumumkan PKPD di Mukim Kuala Berang berkuat kuasa esok, ketua keluarga dibenarkan keluar membeli-belah barangan keperluan utama termasuk di pasar raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Kuala Berang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok hingga 11 Jun depan susulan berlaku peningkatan kes Covid-19.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Mengulas mengenai barangan keperluan utama, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pegawai dan anggota KPDNHEP negeri sudah melakukan pemeriksaan serta pemantauan dan mendapati semua barangan mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Katanya, KPDNHEP negeri sudah mengeluarkan kelulusan kepada Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) untuk menyimpan lebih 20 peratus daripada had simpanan barangan kawalan.

"Sebanyak 20 DDR dan satu DDW di daerah Hulu Terengganu termasuk di kawasan Mukim Kuala Berang yang dikenakan PKPD berkuat kuasa esok dibenarkan membuat simpanan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan.

"Saya dimaklumkan, semua barangan kawalan termasuk gula, beras, minyak masak dan telur di daerah Hulu Terengganu mencukupi untuk menampung keperluan penduduk," katanya.

Sementara itu, tinjauan dilakukan bersama pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP di beberapa pasar raya di Kuala Berang mendapati tidak berlaku kekurangan barangan kawalan.

Bagaimanapun, pengunjung sanggup beratur panjang dan didapati membeli pelbagai barangan secara panik susulan dakwaan pasar raya hanya dibenarkan beroperasi sehingga 2 petang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 4:32 PM