GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada semua peniaga untuk tidak melakukan kegiatan menyorok bekalan keperluan dan mengambil kesempatan ketika ramai masyarakat terjejas akibat banjir.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, amaran itu bagi memastikan keperluan asas pengguna di kawasan yang terjejas akibat banjir mencukupi dan mudah diperolehi.

"Peniaga yang didapati melakukan aktiviti menyorok bekalan keperluan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pengguna juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika musim tengkujuh ini dengan memastikan kesihatan dan keselamatan diri juga keluarga. Mereka perlu memaklumkan kepada pihak KPDNHEP sekiranya menghadapi kesukaran dalam memperolehi bekalan keperluan," katanya tadi.

Berikutan itu, Azman berkata pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan ketika musim tengkujuh bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan mudah diperoleh.

Beliau berkata pemantauan itu dibuat menerusi pemeriksaan ke atas pemborong terpilih daerah (DDW), peruncit terpilih daerah (DDR) dan pengilang terpilih daerah (DDM) yang dilantik di seluruh negara selain pemeriksaan di premis lain.

"Pemantauan rapi ini adalah bagi memastikan bekalan keperluan sentiasa mencukupi bagi keperluan pengguna lebih-lebih lagi di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir ketika ini.

"Anggota penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara juga akan sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan bekalan keperluan asas mencukupi," katanya.

Azman berkata selain itu, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP di seluruh negara juga diaktifkan serta-merta bagi memastikan laporan berhubung kekurangan bekalan keperluan asas di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir dapat di atasi dengan segera selain kesiap-siagaan anggota penguat kuasa KPDNHEP untuk sentiasa berada di lapangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Dalam pada itu, Azman berkata, sekiranya pengguna mempunyai sebarang aduan atau maklumat berhubung perkara berkenaan, boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui laporkan di aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317.

Mereka juga boleh membuat aduan di portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, emelkan di [email protected], memuat turut aplikasi Ez ADU KPDNHEP serta hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 5:16 PM