ROSOL. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ROSOL. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menerima sebarang rungutan atau aduan ketiadaan bekalan makanan sepanjang bencana banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak menerima aduan sama ada daripada pihak pengguna atau pembekal mengenai ketiadaan bekalan makanan sekali gus menunjukkan bekalan barangan keperluan asas mencukupi.

"Kita juga ada melantik beberapa peruncit dan pemborong terpilih yang dibenarkan untuk menyimpan barangan keperluan asas tambahan ketika musim banjir.

"Mereka ini dibenarkan menyimpan stok melebihi kadar biasa iaitu sehingga 30 peratus tambahan.

"Sebagai contoh, kebiasaannya mereka boleh simpan stok barang sebanyak 100 peratus, jadi apabila musim tengkujuh, kita benarkan mereka ini tambah lagi stok sehingga 130 peratus untuk setiap masa supaya bekalan keperluan asas sentiasa mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada penduduk di sekitar Hulu Terengganu.

Ketika ditanya sama ada berlaku kekangan untuk barang-barang keperluan harian berada di pasaran berikutan bencana banjir dan Covid-19, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, isu berkenaan tidak timbul kerana pihaknya tidak menerima aduan daripada pengguna.

"Setakat ini, ia dapat diuruskan dengan baik dan kita yakin pegawai yang ada bukan hanya memantau untuk tindakan penguatkuasaan tetapi memastikan bekalan sentiasa ada di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:01 PM