Seramai 17 penduduk Pulau Tioman yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dipindahkan ke Pusat Kuarantin Kuala Rompin dengan menggunakan Kapal Maritim Tatau, kelmarin.
Seramai 17 penduduk Pulau Tioman yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dipindahkan ke Pusat Kuarantin Kuala Rompin dengan menggunakan Kapal Maritim Tatau, kelmarin.
Oleh Asrol Awang


Rompin: Tujuh belas penduduk Pulau Tioman yang dikenal-pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19 di pulau itu dipindahkan ke Pusat Kuarantin Kuala Rompin di sini, dengan menaiki Kapal Maritim (KM) Tatau milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.

Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bantuan melalui operasi pemindahan perubatan (Medevac) itu dilakukan selepas pihaknya dihubungi Pejabat Klinik Kesihatan Pulau Tioman.

"Mereka dihantar ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading di sini, selepas mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Kuala Rompin.

"KM Tatau tiba di jeti berkenaan jam 12 tengah hari dan perjalanan itu mengambil masa kira-kira tiga jam," katanya pada kenyataan hari ini.

KM Tatau dan krunya kemudiannya disanitasi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 3:37 PM