Ahmad Puzi (tiga dari kiri) bersalam dengan Ahmad Latfan pada majlis memeterai MoU, semalam.
Ahmad Puzi (tiga dari kiri) bersalam dengan Ahmad Latfan pada majlis memeterai MoU, semalam.
Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Rompin: Bank Simpanan Nasional (BSN) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi meningkatkan kemudahan perbankan demi manfaat penduduk dan pelancong di Pulau Tioman, Pahang.

Menerusi kerjasama itu, APMM akan menggunakan asetnya dalam aspek pengangkutan membabitkan urusan perbankan BSN, yang sebelum ini terjejas susulan pemberhentian operasi penerbangan ke pulau itu pada tahun lalu.

Usaha itu memberi jaminan keselamatan kepada urusan bank berkenaan yang menjadi satu-satunya institusi perbankan yang beroperasi di Pulau Tioman.

Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Perniagaan) BSN, Ahmad Latfan Mohd Amran berkata, kerjasama itu membolehkan penduduk dan pelancong di pulau berkenaan menikmati kemudahan perbankan yang lebih lancar.

Beliau berkata, ia selaras dengan usaha berterusan pihaknya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang menjadi keutamaan BSN.

“BSN satu-satunya syarikat perbankan yang menyediakan kemudahan bank di Pulau Tioman. Pulau ini dijangka mampu mencapai status bebas cukai seperti Pulau Langkawi (Kedah) pada masa depan, sekali gus menguntungkan BSN dalam jangka panjang.

“Kami bersedia memperluaskan operasi di pulau lain yang tidak mempunyai perkhidmatan bank jika ada permintaan daripada penduduk,” katanya selepas majlis memeterai MoU antara BSN dengan APMM di Pulau Tioman, dekat sini, semalam.

BSN diwakili Ahmad Latfan manakala APMM diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Ahmad Latfan berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan APMM jika BSN memutuskan untuk mengembangkan operasi di pulau lain di negara ini.

Ahmad Puzi berkata, kerjasama itu bukan saja meningkatkan keselamatan di perairan negara, malah memberikan nilai tambah kepada penduduk setempat.

“APMM menyambut baik kerjasama ini. Dengan menggunakan aset dan kekuatan anggota, kami yakin ia memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak terutama jaminan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 7:13 AM