Oleh Asrol Awang


Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang menggagalkan cubaan mengedar empat kilogram syabu bernilai RM160,000 di perairan Teluk Gading Endau, Rompin di sini, jam 11.30 malam tadi.

Kejayaan itu hasil maklumat dan risikan bersama APMM Johor yang membawa kepada penahanan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang menuju ke Pulau Tioman, kira-kira satu batu nautika di muara Sungai Endau.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, sebaik menyedari dikesan, pengemudi bot terbabit memadamkan lampu botnya.

Suspek kemudiannya meloloskan diri ke daratan dengan meninggalkan bot gentian itu di tebing Sungai Endau.

"Pemeriksaan pada bot menemui empat plastik syabu. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin ialah RM182,000.

"Semuanya dibawa ke jeti Pos Maritim Tanjung Gemok, Rompin untuk proses selanjutnya," katanya pada sidang media di pejabat APMM Pahang di sini.

Menurut Amran, hasil siasatan, syabu itu untuk edaran pasaran tempatan di sekitar Pulau Tioman.

Beliau berkata, sindiket aktif mengedar dadah menggunakan jalan laut walaupun terpaksa mengharungi cuaca buruk ketika musim tengkujuh.

"Tempoh perjalanan dengan menggunakan bot gentian ini untuk ke Pulau Tioman ialah kira-kira empat jam.

"Kami akan bekerjasama dengan polis berkaitan kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 5:18 PM
Sidang media oleh Pengarah Maritim mengenai rampasan dadah oleh pihak APMM di Ibu Pejabat APMM Negeri. foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Sidang media oleh Pengarah Maritim mengenai rampasan dadah oleh pihak APMM di Ibu Pejabat APMM Negeri. foto FARIZUL HAFIZ AWANG