Anggota APM mengangkat barangan makanan untuk bekalan penduduk di Pulau Tioman di musim Monsun Timur Laut di Rompin hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal
Anggota APM mengangkat barangan makanan untuk bekalan penduduk di Pulau Tioman di musim Monsun Timur Laut di Rompin hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal
Muhd Asyraf Sawal


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menghantar 19 tan makanan kering ke Pulau Tioman sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.

Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata, penghantaran barangan makanan itu adalah hasil peruntukan kerajaan negeri.

Menurutnya, barangan makanan itu membabitkan beras, minyak masak, biskut, teh uncang, gula pasir, kopi, garam halus dan sardin.

“Barangan berkenaan dihantar ke lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman iaitu Kompleks Niaga Kampung Salang, Balai Polis Tekek, Balai Raya Kampung Juara, Kampung Genting dan Balai Raya Kampung Mukut," katanya ketika ditemui di Rompin hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Mohd Zakaria Ibrahim sempena Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana ke Pulau Tioman.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Rompin Datuk Zaliza Zulkipli.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan setiap tahun dan mampu memberi manfaat kepada lebih 3,500 penduduk di pulau itu terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut.

"Selain itu, JKM juga menambah beberapa barangan lain antaranya seperti selimut, toto, tuala dan kit bencana.

“Stok bekalan makanan itu dihantar untuk kegunaan selama tujuh hari apabila Monsun Timur Laut.

“Secara keseluruhan, kerajaan negeri peruntukan sebanyak RM1 juta untuk barangan keperluan asas dan RM2 juta bagi barangan makanan kering bagi keperluan mangsa terutama mangsa banjir ketika musim Monsun Timur Laut di Pahang,” katanya.

Menurutnya, misi penghantaran itu mendapat kerjasama Pejabat Daerah Rompin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 6:37 PM