GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang
am@hmetro.com.my


Kuantan: Perkhidmatan feri di Pulau Tioman, Rompin beroperasi seperti biasa walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 29 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, perkhidmatan feri dari jeti Tanjung Gemok, Rompin dan jeti Mersing, Johor) akan diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang menggunakan perkhidmatan itu perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk dikehendaki mendapatkan kebenaran polis.

"Feri akan beroperasi tetapi hanya membabitkan urusan penting dan penumpang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan menaiki feri untuk keluar dan masuk ke Pulau Tioman.

"Pejabat Daerah Rompin dan Mersing juga bersetuju memberikan kerjasama untuk memastikan mereka yang bergejala tidak dibenarkan menaiki feri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Johari berkata, pegawai Jabatan Kesihatan, Jabatan Laut Malaysia dan polis akan memantau dua jeti di daratan dan jeti di pulau itu.

"Sehubungan itu, katanya, penduduk kampung yang tinggal di pulau itu diminta mengehadkan pergerakan mereka dan berada di rumah untuk memastikan tidak berlaku penularan wabak itu," kata Mohd Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman.

Sementara itu, beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Rompin bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSB) serta agensi lain akan menyalurkan bekalan makanan kepada 900 keluarga di pulau itu.

"Pusat Khidmat Tioman akan menghubungi ketua kampung untuk membantu menyalurkan bantuan itu," katanya.

Dalam kenyataan media semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan melaksanakan PKPD selama dua minggu di Pulau Tioman bermula hari ini.

Katanya, sehingga kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 9:15 PM