Pasukan SAR melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Tioman. FOTO Ihsan APMM
Pasukan SAR melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Tioman. FOTO Ihsan APMM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA pemandu pelancong dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca dinaiki mereka dari jeti Kuala Rompin, Rompin menuju ke Pulau Tioman tidak tiba sejak Rabu lalu.

Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar berkata, mangsa Amat Mohamad, 50, dan Mohd Abdul Lattif Kasim, 20, dikatakan meninggalkan jeti Sungai Putri, Kuala Rompin 2.30 petang, Rabu lalu dan sepatutnya tiba di Pulau Tioman sejam kemudian.

Katanya, bagaimanapun dua mangsa yang bersaudara terbabit tidak tiba di pulau peranginan berkenaan dan gagal dihubungi keluarga mereka sebelum kejadian itu dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada hari kejadian.

“€œOperasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan oleh Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan serta merta membabitkan dua aset iaitu penggunaan KM Langkawi dan Bot Penggalang 14.

“€œAPMM turut menggunakan aset udara iaitu pesawat Bombardier serta bantuan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),”€ katanya dalam kenyataan di Kuantan, hari ini.

Zulkarnain berkata, semua aset yang terbabit dibahagikan kepada beberapa sektor pencarian merangkumi radius 25 batu nautika di barat Pulau Tioman.

Difahamkan operasi turut dibantu kumpulan nelayan di sekitar Pulau Tioman membabitkan pencarian di sekitar laluan yang sering digunakan oleh pemandu bot untuk ke pulau itu.

Operasi SAR yang memasuki hari ketiga masih diteruskan dengan mengambil kira keadaan laut dan tiupan angin di sektor pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 1:13 PM