PULAU Tioman.
PULAU Tioman.
Asrol Awang
am@hmetro.com.my


Kuantan: Seramai 600 pelancong tempatan yang bakal bercuti ke Pulau Tioman Selasa ini, perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 di jeti Teluk Gading, Rompin sebelum dibenarkan menaiki feri.

Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan kes Covid-19 dapat disekat lebih awal sekiranya ada di kalangan mereka disahkan positif wabak terbabit.

Katanya, selain ujian pengesanan Covid-19, mereka yang bercuti ke Pulau Tioman perlu mengikut syarat ditetapkan kerajaan terutama sudah lengkap dua dos.

"Oleh itu kita meminta semua pelancong menjalani ujian itu dan keputusan ujian diserahkan kepada petugas di jeti Teluk Gading atau sebelum ini dikenali jeti Tanjung Gemok.

"Dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kita akan memastikan segala syarat dipatuhi dan Pulau Tioman bebas Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan yang dilakukan Selasa ini sebagai persediaan awal sebelum menerima lebih ramai pelancong dari luar Pahang bulan depan selepas kerajaan membenarkan pembukaan lokasi pelancongan di Pulau Tioman.

Katanya, dengan kerjasama yang diberikan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, KKM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan membantu melancarkan urusan itu.

"Diharapkan dengan pembukaan Pulau Tioman ini akan membantu merancakkan kembali ekonomi penduduk pulau yang sebahagian besarnya bergantung kepada sektor pelancongan.

"Pulau Tioman mempunyai 1,811 bilik daripada 103 hotel yang berdaftar dan 30 pusat menyelam serta 88 pemandu bot," katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, pembukaan semula Pulau Tioman akan meningkatkan ekonomi penduduk pulau berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:33 PM