RAZALI (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan di pekarangan Jabatan Penyiaran negeri di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu. FOTO BAHAROM BAKAR.
RAZALI (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan di pekarangan Jabatan Penyiaran negeri di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM3 juta untuk disalurkan kepada tabung tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk terkesan dilanda bencana.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan itu diperoleh daripada beberapa anak syarikat yang mencatatkan keuntungan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, Ketengah tidak menyediakan peruntukan khas untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terkesan dilanda pelbagai musibah.

"Ahli Lembaga Pengarah Ketengah memutuskan menubuhkan Tabung CSR bagi membantu meringankan beban penduduk termasuk yang tinggal di kawasan wilayah Ketengah.

"Peruntukan untuk Tabung CSR dikendalikan skuad Ketengah Ambik Cakne diperoleh daripada beberapa anak syarikat yang mencatatkan keuntungan," katanya kepada media di perkarangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) negeri di Bukit Pak Apil, di sini, semalam.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara turut menyerahkan bantuan 50 bakul makanan bernilai RM5,000 kepada pegawai dan kakitangan RTM negeri yang dikuarantin berikutan kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata, peruntukan RM50,000 diluluskan untuk membantu membekalkan kit makanan bagi meringankan bebanan 500 ketua isi rumah (KIR) terbabit dalam kejadian fenomena kepala air di Yan, Kedah, Khamis lalu.

Katanya, penyerahan kit makanan kepada 500 KIR yang terkesan berikutan fenomena kepala air itu akan dilakukan pada awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 9:51 PM